suria

GST Enam Peratus Akan Diguna Pakai Untuk Tempoh Lama

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus, dijangka diguna pakai untuk satu tempoh yang lama, kata Pengarah Bahagian Cukai Dalam Negeri Jabatan Kastam Subromaniam Tholasy.

Beliau berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menaikkan kadar peratusan itu secara mendadak tanpa memberitahu orang ramai bagi mengelak ia menyebabkan kejutan kepada rakyat.

"Saya percaya cukai tunggal - GST - yang bakal menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST), akan dikenakan ke atas rakyat Malaysia untuk satu tempoh yang panjang.

"Namun, saya tidak pasti tempoh pelaksanaan enam peratus itu," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2014, mengumumkan pelaksanaan GST berkuatkuasa 1 April 2015, dengan cukai itu dilihat lebih telus dan seragam berbanding SST yang dikenakan ketika ini.

Cukai SST dikatakan mempunyai kelemahan seperti cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat yang menjadi punca harga sesetengah barangan dan perkhidmatan menjadi mahal.

Menurut Subromaniam ada sesetengah pihak menyifatkan kadar peratusan cukai GST enam peratus itu tinggi.

"Ia akan dipulangkan semula dalam bentuk pengurangan cukai termasuk cukai korporat dan juga cukai pendapatan individu," katanya, sambil menambah bahawa kerajaan mengenakan kadar itu setelah membuat pengiraan terperinci.

Beliau berkata pada kadar enam peratus, GST dapat membantu mengimbangi semula jumlah kutipan cukai negara.

Kerajaan menjangkakan pada 2020 ekonomi negara bakal mencapai lebihan perbelanjaan berikutan pelaksanaan GST pada 2015, di samping defisit negara yang akan berkurang tahun demi tahun, tambahnya.

Oleh itu, kerajaan sedia untuk memberikan pemahaman mengenai pelaksanaan GST kepada orang ramai sebelum tempoh pelaksanaannya.

Subromaniam berkata kerajaan mahu golongan belia seperti mahasiswa dan persatuan tampil membantu kerajaan dengan berkongsi pemahaman mereka mengenai cukai tersebut kepada rakyat.

"Tempoh 16 bulan masih tidak mencukupi bagi pihak kerajaan untuk memberikan pendidikan kepada masyarakat, dan oleh itu kerjasama orang ramai sangat penting.

"Media massa juga memain peranan penting dalam penyebaran maklumat mengenai pelaksanaan GST di negara ini," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Cukai, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), Khairul Annuar Osman berkata pihak yang berminat untuk bekerjasama dengan kerajaan seperti menjayakan forum mengenai GST, boleh berbincang dengan MoF.

Segala perbelanjaan yang terlibat dalam menjayakan program tersebut akan dibiayai MoF menerusi peruntukkan RM100 juta yang diumumkan dalam Bajet 2014 bagi tujuan latihan GST, katanya.

"Buat masa ini, kerajaan berjaya mengumpul beberapa penjawat awam, termasuk anggota politik yang bersedia berkongsi pemahaman GST mereka dengan rakyat," katanya sambil menambah penyebaran maklumat GST penting, terutama kepada pihak yang bakal dikenakan cukai tersebut agar mereka tidak keliru.

Khairul berkata pelaksanaan GST akan memberi impak kepada gaya hidup rakyat dan beliau menasihatkan agar mereka bijak berbelanja serta hanya berbelanja mengikut kemampuan.

"Memang akan berlaku kenaikan harga ke atas kebanyakan barang, tetapi asas diperlebar tidaklah begitu besar dan kerajaan telah memberikan jaminan untuk memantau kenaikan harga yang luar biasa," katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak bimbang akan kenaikan harga yang mendadak kerana kerajaan bakal mengeluarkan garis panduan harga barang yang biasa dibeli oleh pengguna, termasuk harga bagi kenderaan.

"Senarai tersebut dijangka dikeluarkan tiga bulan sebelum pelaksanaan GST," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain