suria

Pemegang ASB Terima Dividen 7.7 Sen Seunit, Bonus 1.0 Sen Seunit

KUALA LUMPUR: Pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) akan menerima dividen 7.70 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2013 berbanding 7.75 sen tahun lepas.

Sejumlah 8.26 juta pemegang unit, yang kini memiliki sejumlah 127.2 bilion unit ASB, juga akan menerima bonus sebanyak 1.00 sen seunit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata walaupun pengagihan dividen kali ini rendah sedikit berbanding tahun lepas, kadar itu kekal kompetitif di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global.

"Kadar ini juga bukanlah yang terendah yang pernah diagihkan oleh PNB kerana pada tahun 2009, pengagihan dividen termasuk bonus adalah 8.6 sen seunit. "Sebenarnya PNB mampu membayar dividen sebanyak 10.54 sen seunit untuk tahun ini, tetapi kita bawa ke hadapan 2.71 sen seunit bagi membantu portfolio dana ini untuk lebih berdaya mampan di masa hadapan," kata beliau kepada pemberita selepas pengumuman pengagihan pendapatan ASB oleh Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid di sini Khamis.

Sementara itu, Ahmad Sarji berkata peruntukan bagi pengagihan pendapatan itu membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM9.38 bilion manakala bayaran bonus sebanyak RM706.88 juta.

"Jumlah pendapatan kasar ASB pada 31 Disember 2013, adalah dijangkakan sebanyak RM9.92 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 15.1 peratus berbanding pendapatan kasar sebanyak RM8.62 bilion yang diperoleh pada tahun lepas," kata beliau.

Ahmad Sarji berkata pendapatan dividen daripada syarikat pelabur menyumbang RM4.41 bilion atau 44.5 peratus daripada pendapatan kasar dan keuntungan daripada jualan saham menyumbang RM4 bilion atau 40.3 peratus.

Baki 15.2 peratus atau RM1.51 bilion adalah daripada lain-lain pendapatan, kata beliau.

Pembayaran pengagihan pendapatan dan bonus bagi tabung ASB akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit dan para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan ASB masing-masing di ibu pejabat PNB atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 Januari 2014.

Semua urus niaga bagi ASB akan ditangguhkan pada 22 Disember 2013 sehingga 1 Januari 2014 bagi tujuan pengiraan pendapatan dan bonus.

Sementara itu, semasa ditanya mengenai perkembangan terkini ASB2, Hamad Kama berkata PNB masih mengkaji struktur yang bersesuaian.

"Bukan kami tidak mahu memberitahu sekarang, tetapi kami mahu memastikan yang kami perlu menstrukturkan portfolio kami ke tahap yang akan dilihat sebagai pakej yang lebih baik yang diperkenalkan kepada pasaran.

"Ia akan mengambil masa sedikit dan sudah tentu apabila siap nanti, kami berharap Perdana Menteri akan dapat melancarkannya," kata beliau.

Hamad Kama berkata antara struktur yang ditinjau PNB ialah dari segi peruntukan aset. -BERNAMA

Artikel Lain