suria

Raja Muda Perlis Gesa Golongan Muda Ceburi Bidang Keusahawanan

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggesa golongan muda menceburi bidang keusahawanan kerana mereka antara kumpulan penggerak ekonomi yang penting untuk negara.

Baginda bertitah mereka juga mempunyai ruang yang luas untuk berjaya dalam bidang itu meskipun bermula sebagai usahawan kecil kerana kesungguhan dan pengalaman akan membantu kejayaan.

Bertitah merasmikan Karnival 3M Usahawan Negeri Perlis 2013 di sini malam tadi, baginda bertitah pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bersedia membantu golongan muda menjadi usahawan termasuk melalui bantuan kewangan dan khidmat nasihat.

Karnival tiga hari itu dianjurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (MARA), Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Perlis.

Baginda turut mengingatkan para usahawan supaya mengelakkan diri daripada terbabit perniagaan yang menyalahi undang-undang kerajaan dan tuntutan agama.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang Dipertua MAIPs, bertitah umat Islam kini menilai semula pendekatan yang perlu diambil dalam usaha merombak semula kedudukan ekonomi ummah dan keadaan persekitaran dunia global yang semakin mencabar.

Sehubungan itu, titah baginda masa depan ekonomi umat Islam terletak di tangan umat Islam sendiri sama ada untuk terus maju ke hadapan atau ketinggalan dalam persaingan global.

Berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil manakala yang hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Abdul Malik Husin, Pengarah MARA Perlis Abdul Halim Mamat dan bekas Mufti Perlis Datuk Ariff Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Sempena majlis itu, Raja Muda Perlis turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM20,000 kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Romli Dai bagi memulakan kempen mengumpul sumbangan bagi membantu mangsa di negeri yang kini dilanda banjir.

Kutipan akan turut diadakan di semua 105 masjid seluruh Perlis.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Tidak Pernah Rasis - PM

Artikel Lain