suria

Isu Saman AES Akan Dibentang Kepada Majlis Ekonomi

PELABUHAN KLANG: Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian itu berharap dapat membentangkan isu saman trafik yang dikeluarkan sebelum 18 September di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), kepada Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menjelang minggu depan.

Laporan sebelum ini menyebut perkara itu akan dibawa kepada Kabinet dan isu berkenaan terlewat sedikit untuk didengar bagi membolehkan kementerian memutuskan platform yang sesuai untuk membuat keputusan berhubung perkara itu, katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin selepas melancarkan empat kren pangkalan baharu Northport (Malaysia) Bhd.

Pada 18 Sept tahun ini Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan AES bersetuju untuk mengurangkan kadar kompaun kepada minimum RM150 berbanding RM300 sebelum ini.

Hishammuddin berkata menerusi Majlis Ekonomi itu, kementerian berkenaan akan membentangkan isu saman trafik dan mencari jalan penyelesaian berhubung pesalah trafik yang membayar jumlah penuh RM300 kerana kesalahan trafik mereka sebelum 18 September.

Selain isu saman trafik, beliau berkata kementerian itu akan mengemukakan cara untuk menyelaraskan peranan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan serta memastikan semua undang-undang yang berkaitan dipatuhi. -BERNAMA

Artikel Lain