suria

SPRM Harap CeIO Dapat Tingkatkan Integriti Jabatan Untuk Perangi Rasuah

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed berharap Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) yang dilantik dalam sesebuah jabatan dapat meningkatkan integriti bagi memerangi rasuah di dalam agansi atau jabatan masing-masing.

Beliau berkata CeIO berperanan untuk merancang, melaksana dan memantau keberkesanan program-program integriti dan pihaknya berharap ia dapat memantapkan lagi amalan integriti di jabatan dan agensi CeIO berkenaan.

"Seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan Bajet 2014 baru-baru ini, saya yakin unit itu dapat menguruskan isu-isu berkaitan integriti di semua kementerian dan agensi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Program CeIO International Akademi Pencegahan Rasuah, di sini, Jumaat.

Program itu berlangsung selama 12 hari dan disertai 16 peserta iaitu sembilan dari luar negara termasuk Brunei dan Singapura manakala selebihnya adalah peserta dalam negara.

Mengulas lanjut mengenai CeIO, beliau berkata pegawai itu juga akan bertanggungjawab menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan integriti agensi masing-masing selain program latihan pegawai integriti bertauliah menerusi Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia. Abu Kassim berkata CeIO juga ditugaskan untuk mengukuhkan integriti iaitu memastikan pembudayaan, penginstitusian dan pelaksanaan integriti dalam organisasi masing-masing serta mengesan dan mengesahkan aduan salah laku jenayah.

Beliau berkata CeIO turut bertanggungjawab mengesan pelanggaran tata kelakuan dan etika organisasi serta memastikan tindakan susulan yang sewajarnya diambil dan melaporkan salah laku jenayah kepada agensi berkaitan.

"Ia juga berfungsi menguruskan aduan seperti menerima dan mengambil tindakan atas semua aduan berhubung salah laku jenayah serta pelanggaran tata kelakuan serta etika organisasi," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain