suria

Jalan Utama Sungai Limau Sesak

YAN: Ketika tempoh berkempen berbaki hanya dua hari, jalan utama kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sesak dibanjiri kenderaan penduduk tempatan serta pelancong pilihan raya.

Pertambahan kenderaan jalan Alor Setar-Sungai Petani itu juga berikutan cuti panjang bagi pengundi yang berada di luar kawasan sempena perayaan Deepavali pada Sabtu serta sambutan Maal Hijrah pada Selasa depan.

Tinjauan di sekitar jalan utama Sungai Limau juga mendapati sekumpulan perayu kempen PAS berkumpul di beberapa lokasi strategik dengan memegang poster serta kain rentang yang bertulis 'bunyikan hon jika menyokong'.

Suasana bagaikan pesta 'hon' turut dikesan di kawasan persimpangan Simpang Tiga Sungai Limau Dalam serta di beberapa persimpangan utama jalan Kuala Kedah-Yan.

Lebih menarik, kumpulan perayu undi yang terdiri daripada Muslimat PAS itu turut mengedarkan risalah kepada pengguna jalan raya yang memperlahankan kenderaan masing-masing.

Selain itu program-program anjuran parti politik serta agensi kerajaan di beberapa lokasi di sepanjang jalan turut menyebabkan kesesakan apabila kenderaan diletakkan di bahu jalan.

PRK DUN Sungai Limau yang akan diadakan pada 4 November ini menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat menentang wakil Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim.

Artikel Lain