suria

Kerajaan Belum Putus Pembelian Pesawat Pejuang Ganti MiG-29: Abdul Rahim

GEORGE TOWN: Kerajaan belum memutuskan pembelian jet pejuang Rafale buatan Perancis bagi menggantikan pesawat tempur buatan Russia, MiG-29, yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejak 1995.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata pelbagai aspek perlu diteliti sebelum keputusan pembelian dibuat termasuk keupayaan pesawat berkenaan serta kemampuan kewangan negara.

"Penelitian bukan sahaja dibuat oleh Kementerian Pertahanan tetapi melibatkan beberapa agensi lain termasuk Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kumpulan 3 siri 10/2013 Kem PLKN White Resort di Balik Pulau di sini Khamis.

Abdul Rahim berkata penggantian pesawat pejuang dan aset ketenteraan negara menjadi keperluan penting memandangkan kelengkapan itu boleh dijadikan sebagai insurans bagi menjamin kedaulatan negara.

Katanya aset ketenteraan perlu diganti apabila cukup tempoh masanya bagi memastikan kelengkapan pertahanan negara tidak ketinggalan zaman.

"Adalah tidak ekonomi untuk pertahanan negara sekiranya aset sedia ada digunakan untuk tempoh masa yang lebih daripada 30 tahun," katanya.

Mengulas mengenai pembelian aset Kapal Tempur Pesisir (LCS) serta kapal peronda luar pesisir (OPV) untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang akan beroperasi pada 2018, beliau berkata ia adalah satu keperluan untuk melindungi kawasan perairan negara terutamanya di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Katanya kapal berkenaan akan dibina dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Boustead Naval Shipping dan sebuah syarikat milik Perancis yang kosnya tidak akan melebih RM9 bilion.

"Kita sudah ada kemampuan untuk membina kapal perang sendiri cuma memerlukan bantuan kepakaran spesifik dari luar untuk membina perisian dan sistem persenjataan yang diperlukan.

"Pembinaan kapal-kapal ini juga akan dibuat di Lumut, Perak dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Beliau turut menegaskan pembelian aset ketenteraan itu adalah mengikut keperluan dalam memastikan pertahanan negara memiliki aset yang terbaik demi menjamin kedaulatan negara.

"Kapal perang bukan khusus untuk peperangan tetapi juga perlu untuk menjaga kawasan perairan negara memandangkan kita memilik beberapa aset seperti pelantar minyak dan gas yang jauh di tengah laut," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain