suria

Adik Temui Mayat Abang Di Belakang Rumah

TASEK GELUGOR: Seorang lelaki menemui mayat abangnya dalam semak berhampiran rumah abangnya itu semasa beliau datang berkunjung di Labuh Banting di sini, Rabu.

Mayat Mohd Napiah Ramli, 45, ditemui adiknya Isa, 30-an, pada pukul 11.30 pagi dalam keadaan sudah berulat kerana dipercayai meninggal dunia lebih dua hari lalu.

Menurut kakak iparnnya, Halimah Hamzah, 50-an, Mohd Napiah menghidap sawan dan tinggal seorang diri di rumahnya sejak beberapa tahun lalu.

"Isa yang tinggal di Pendang, Kedah datang ke rumah abangnya tetapi abangnya tidak ada dalam rumah. Dia kemudian pergi ke kawasan semak di belakang rumah untuk membuang air kecil dan terkejut melihat abangnya dalam keadaan terlentang," katanya.

Halimah berkata beliau juga tertunggu-tunggu kedatangan adik iparnya itu kerana sudah dua hari tidak datang mengambil makanan di rumahnya seperti biasa.

"Selalunya dia akan ke rumah saya yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk mengambil nasi tetapi tidak berbuat demikian sejak dua hari lalu. Saya ingatkan dia ke Balik Pulau kerana dia juga sering ke sana seorang diri," katanya.

Polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut. - BERNAMA

Artikel Lain