suria

Bantuan Persekolahan RM100 & Baucar Buku RM250 Diteruskan - Najib

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneruskan bantuan persekolahan RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dan baucar buku RM250 kepada pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini, tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata sebanyak RM540 juta disediakan untuk bantuan persekolahan tersebut bagi mengurangkan beban kewangan ibu bapa pada permulaan sesi persekolahan awal tahun.

Ini merupakan tahun ketiga kerajaan menyediakan bantuan persekolahan tersebut yang akan memanfaatkan kira-kira 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

"Saya dimaklumkan terdapat ibu bapa yang secara sukarela telah menyumbangkan kembali bantuan tersebut kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Kerajaan amat menghargai dan menyanjungi tinggi nilai murni tersebut," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia sebanyak RM250 kepada setiap pelajar prauniversiti dan Instituisi Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian.

"Langkah ini dijangka dapat memanfaat seramai 1.3 juta pelajar dengan peruntukan sebanyak RM325 juta," katanya.

Baucar Buku 1Malaysia diperkenalkan pada Bajet 2012. - BERNAMA

Artikel Lain