suria

JLKN Nafi PLKN Membazir, Tidak Berkesan

PORT DICKSON: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menolak dakwaan pemimpin pembangkang bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dilaksana sejak 2004 itu membazir dan tidak berkesan.

Pengarahnya Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata keberkesanan program itu harus dinilai dari sudut objektif yang dilihat berjaya melahirkan anak muda dengan semangat nasionalisme dan jati diri yang tinggi.

JLKN sentiasa menyemak tahap keberkesanan program dengan melihat perbezaan yang berlaku terhadap pelatih semasa berada di kem sepanjang tiga bulan latihan dan juga selepas pelatih keluar, selain melalui pemantauan ibu bapa dan masyarakat, katanya di sini, Selasa.

Beliau yang ditemui pemberita selepas menghadiri latihan menembak pelatih PLKN di Lapang Sasar Menyala A, diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan agar PLKN dihentikan kerana program itu membazir, selain mengkaji semua isu berbangkit mengenai PLKN.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata program itu yang bertujuan melahirkan modal insan berkualiti, tidak boleh dibanding dengan pembangunan fizikal lain.

"Saya yakin masyarakat akan dapat menerima program ini, dan saya yakin tahun depan persepsi masyarakat tentang program ini akan tetap sama kerana kita dapati sekarang ini hampir tidak ada ibu bapa yang tidak menyokong program ini," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata JLKN akan mengadakan usahasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam meningkatkan profesionalisme jurulatih PLKN mulai tahun depan.

Katanya usahasama itu meliputi antaranya perkongsian pintar dan perkembangan profesionlisme jurulatih serta meningkatkan kompetensi pengajaran dan pembelajaran. "Melalui kerjasama dengan pihak UPSI ini membolehkan jurulatih PLKN mendapat pembelajaran tambahan untuk digunakan di dalam kelas serta memastikan semua pelatih mendapat manfaat melaluinya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain