GST Boleh Jadikan Harga Barangan & Perkhidmatan Lebih Murah - Semasa | mStar

GST Boleh Jadikan Harga Barangan & Perkhidmatan Lebih Murah

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia boleh menikmati barangan dan perkhidmatan yang lebih murah bagi banyak keperluan asas sekiranya kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sedia ada.

Cukai itu, yang dijangka dilaksanakan pada 2015, akan menyaksikan cadangan kadar empat peratus bagi menggantikan kadar 10 peratus bagi cukai jualan dan lima peratus cukai perkhidmatan yang diguna pakai sekarang.

GST akan dikenakan ke atas penggunaan barangan dan perkhidmatan di semua tahap rantaian bekalan.

Sekiranya dilaksanakan, 40 keperluan makanan asas, termasuk beras, gula, susu tepung dan tepung akan disenaraikan sebagai barangan sifar cukai, manakala perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan, mungkin diklasifikasikan sebagai dikecualikan cukai.

Kebanyakan barangan ketika ini dikenakan cukai di bawah SST dan peralihan kepada GST akan meringankan beban golongan miskin, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, dipetik sebagai berkata.

GST akan memastikan harga barangan tidak akan meningkat.

Selain itu, tidak semua produk akan dikenakan cukai penuh di bawah cadangan GST kerana produk tertentu akan dikenakan hanya separuh daripada kadar GST.

"GST suatu yang perlu, ia bukan satu pilihan," kata Mohd Irwan Serigar sambil menambah sekiranya rejim cukai baharu itu dilaksanakan, kerajaan yakin dapat mengurangkan defisit fiskal keluaran dalam negara kasar pada 2015 dan mencapai lebihan menjelang 2020.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan/Ketua Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Zulkifli Hamzah berkata walaupun pelaksanaan GST mengakibatkan inflasi, ia hanya bagi tempoh jangka pendek kerana corak penggunaan dapat disesuaikan dari masa ke semasa.

"Kami menjangka GST akan membawa kesan inflasi sementara ke atas harga, sama dengan bukti yang ditemui di banyak negara yang telah memperkenalkan cukai itu. "Kesan inflasi GST akan bergantung kepada kadar yang akan diputuskan, pengecualian dan langkah-langkah selari bagi mengurangkan kenaikan harga," katanya kepada Bernama.

Jabatan Kastam Malaysia berpendapat kesan inflasi GST adalah minimum kerana barang makanan asas dan keperluan tidak akan dikenakan cukai manakala kemudahan awam akan dikecualikan.

Faktor lain ialah kos pengeluaran rendah kerana GST dibayar bagi input boleh dituntut oleh perniagaan, manakala penjimatan daripada kredit cukai input boleh disalurkan kepada pengguna dalam bentuk harga rendah.

GST, cukai penggunaan secara meluas, atau cukai tokokan nilai, kali pertama dibentangkan di Dewan Rakyat pada 16 Dis, 2009, untuk menggantikan SST sekarang, tetapi telah ditarik balik tahun lepas untuk pindaan.

Peralihan itu akan menjadi sebahagian daripada pembaharuan fiskal yang dilaksanakan kerajaan bagi mengurangkan defisit fiskal dan mencapai bajet seimbang neutral pada 2020, membantu negara mencapai ekonomi berpendapatan tinggi serta status negara maju.

Pakar ekonomi berpendapat sekarang adalah masa yang sesuai untuk melaksanakan GST sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan hasil kerajaan.

Apabila dilaksanakan pada kadar hasil-neutral empat peratus, cukai baharu itu dianggarkan meraih hasil RM18 bilion, yang hampir sama dengan hasil RM16 bilion hingga RM17 bilion daripada cukai jualan dan perkhidmatan sekarang pada kadar purata tujuh peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan GST dalam Belanjawan 2014 pada 25 Oktober ini.

GST akan mengambil masa 14 bulan untuk dilaksanakan selepas ia diumumkan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JLKN Nafi PLKN Membazir, Tidak Berkesan

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

Artikel Lain