suria

Khairi Ikrar Tawan Semula Gelang Patah Daripada Pembangkang

JOHOR BARU: Memenangi semula kawasan Parlimen Gelang Patah yang kini dikuasai pembangkang merupakan agenda utama perjuangan Ketua Umno Bahagian Gelang Patah yang baharu.

Mohammad Khairi A Malik yang memenangi jawatan itu pada pemilihan Umno semalam, berkata jentera Umno Gelang Patah perlu digerakkan sekarang jika mahu melihat kerusi parlimen itu kembali kepada parti.

"Kita sudah tidak ada masa lagi untuk menyalahkan sesiapa atas kesilapan lalu, tetapi kita harus mula bergerak sekarang dan bertungkus lumus untuk menambahkan ahli Umno supaya keputusan memihak kepada kita pada pilihan raya umum akan datang," katanya kepada pemberita di sini.

Pada pemilihan parti di Dewan Majlis Bandaraya Johor Baharu Tengah (MPJBT) semalam, setiausaha politik kepada menteri besar Johor itu memperoleh 291 undi, mengalahkan penyandang jawatan itu Datuk Aziz Sapian yang mendapat 69 undi dan Anggota Dewan Undangan Nusajaya Dr Zaini Abu Bakar (96 undi).

Sehubungan itu, Mohammad Khairi menyeru semua jentera sayap parti Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian supaya turut sama membantunya menjayakan matlamat itu. - BERNAMA

Artikel Lain