suria

Empat Anggota Polis Bebas Tuduhan Cederakan Ahli Perniagaan

PETALING JAYA: Empat anggota polis pada Jumaat dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang ahli perniagaan, tiga tahun lepas.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan membebaskan Lans Koperal Mohd Azwan Hassan, Lans Koperal Norzali Roslee, Konstabel Ahmad Saifullah Osman dan Lans Koperal Alizulhafiz Abdul Ghafar selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut membebaskan Mohd Azwan dan Norzali atas satu lagi tuduhan mencederakan ahli perniagaan itu, Chia Buang Hing , 37.

Norzali turut dilepas dan dibebaskan mahkamah atas dua pertuduhan pindaan iaitu cuba mendatangkan bencana dengan membuat tuduhan palsu terhadap Chia.

Dalam keputusannya, Nik Mohd Fadli berkata tangkapan yang dibuat anggota polis berkenaan adalah sah kerana kenderaan pengadu (Chia) tidak mempunyai insurans dan cukai jalan.

"Selain itu, pengadu juga melawan tangkapan dan tangkapan dibuat juga atas alasan syak mengapa perlu melawan sekiranya pengadu tidak bersalah," kata majistret itu.

"Mahkamah juga percaya kecederaan pada pengadu tidak dapat dibuktikan dan keterangan doktor menyokong bahawa tiada kecederaan lain dialami pengadu," jelasnya.

Selain itu, Nik Mohd Fadli berkata keterangan Chia yang merupakan saksi kedua pendakwaan juga tidak stabil.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat anggota polis itu didakwa mencederakan Chia di dalam Balai Polis Kota Damansara di sini antara 12.30 tengah malam dan 3 pagi, 19 Disember 2010.

Mohd Azwan dan Norzali juga menghadapi satu lagi pertuduhan mencederakan Chia di Jalan PJU 3/15, Persiaran Tropicana, Kota Damansara di sini antara 11.30 malam, 18 Disember 2010 dan 12.30 tengah malam, 19 Disember 2010.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Norzali turut berdepan dua pertuduhan pilihan iaitu cuba mendatangkan bencana ke atas Chia dengan membuat tuduhan palsu dengan menuduh Chia memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Bahaya 1958, dan menuduh Chia melakukan kesalahan memiliki dadah jenis heroin seberat 0.01 gram.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Kota Damansara, pada pukul 2.01 pagi, 19 Dis 2010 mengikut Seksyen 211 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Mohamed Yusoff manakala peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar mewakili Mohd Azwan, Ahmad Saifullah serta Alizulhafiz dan peguam R.Vijayan mewakili Norzali. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain