suria

Panel Antarabangsa Nilai Program Transformasi SPRM - Abu Kassim

KUALA LUMPUR: Sebuah panel antarabangsa akan menilai program transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mulai awal tahun depan, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata penilaian itu diharap menjadi lonjakan perspektif terhadap usaha SPRM membanteras gejala rasuah.

"Banyak kejayaan yang kita kecapi sepanjang program transformasi sejak dilaksanakan pada 2011 dengan kadar sabitan rasuah di Mahkamah Rendah meningkat daripada 54 peratus pada 2009 kepada 85 peratus pada 2012.

"Aduan dakwaan kekerasan ketika sesi diambil keterangan juga menurun daripada 26 kes pada 2008 kepada 12 kes pada 2009, satu kes pada 2011 dan sifar pada 2013," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Khas Sempena Ulang Tahun Penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR)/SPRM ke-46 di sini, Khamis.

Ditubuhkan sebagai BPR pada 1967 dan dikenali sebagai SPRM pada 2009, suruhanjaya itu menyambut ulang tahunnya pada 1 Oktober lepas.

Abu Kassim berkata penurunan aduan itu disumbang oleh penubuhan bilik rakaman berkamera video (VIR) dan Bilik Gerakan Operasi Siasatan (BGOS).

"Siasatan secara berpasukan telah memendekkan tempoh masa untuk menjalankan siasatan. Pada 2012, sebanyak 69.91 peratus kertas siasatan berjaya disiapkan dalam tempoh satu hingga tiga bulan dan 99.34 peratus dalam tempoh enam bulan," katanya.

Menurutnya walaupun program transformsi itu dilaksanakan pada 2011, SPRM menjalankan usaha penambahbaikan sebelum 2009 yang merangkumi sektor operasi modal insan dan pencegahan.

SPRM perlu terus berusaha meningkatkan keyakinan masyarakat walaupun kadar keyakinan itu meningkat daripada kira-kira 30 peratus pada 2009 kepada 64 peratus pada 2012.

Beliau berkata SPRM dan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) juga telah diiktiraf sebagai pusat latihan antarabangsa dengan MACA akan mengendalikan modul program Sarjana Akademik Pencegahan Rasuah Antarabangsa.

"MACA juga sedang menaikkan taraf kursus asas pegawai siasatan menjadi program bertaraf diploma," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain