suria

Pengarah Syarikat Ng Advantage Didakwa Ubah Wang Haram RM931. 7 Juta

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat yang berkaitan dengan syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Selasa atas 82 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan RM931.7 juta.

Ng Wan Yean, 29, pengarah syarikat Ng Advantage Sdn Bhd, didakwa menerima wang RM931.7 juta hasil aktiviti haram melalui 82 keping cek daripada akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik Genneva ke dalam akaun syarikat Ng Advantage di RHB Bank Berhad.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di RHB Bank Berhad, No. 75, Jalan Tun H.S.Lee dekat sini antara Jan 2011 dan Ogos 2012.

Ng didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semalam, Ng didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap 19 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.1 juta.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mardziatun Nisa Ahamadul Kaber dari Bank Negara tidak menawarkan sebarang jaminan, namun jika mahkamah membenarkan jaminan, beliau menawarkan RM1 juta dengan seorang penjamin serta pasport tertuduh diserah kepada mahkamah.

Peguam A.S. Dhaliwal yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan ke atas anak guamnya kerana Ng telah membayar jaminan RM80,000 bagi kes di Shah Alam serta pasport tertuduh telah diserahkan kepada mahkamah.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan Ng diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta memerintahkan kes Ng di Shah Alam dibicarakan bersama kesnya di sini.

Mahkamah turut membenarkan kes Ng dibicarakan bersama dengan tertuduh lain yang didakwa sebelum ini melibatkan pertuduhan sama.

Mahkamah menetapkan 27 November depan untuk pengurusan kes.

Pada 30 September lepas, lima individu termasuk abang dan kakak Ng dan sebuah syarikat didakwa atas 277 pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan lebih RM937 juta.

Pada 27 September lalu, pengarah syarikat Genneva iaitu Datuk Philip Lim Jit Meng dan lima individu lain serta dua syarikat iaitu GMSB dan Success Attitude Sdn Bhd, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 913 pertuduhan pengubahan wang haram dan 10 pertuduhan menerima deposit haram membabitkan urus niaga hampir RM5.5 bilion, dua tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain