suria

Sijil Kematian Jemaah Haji Malaysia Di Tanah Suci Dikeluarkan Dalam 24 Jam

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan sijil kematian kepada waris jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di tanah suci pada musim haji ini dalam tempoh 24 jam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kepantasan pengeluaran sijil kematian itu hasil integrasi Sistem Pendaftaran Kematian JP Ndan Sistem Pendaftaran Jemaah Haji Lembaga Tabung Haji.

"Maklumat jemaah haji yang meninggal dunia akan disalurkan secara online terus ke pangkalan data JPN di ibu pejabat JPN," katanya pada sidang media selepas majlis pengisytiharan Hari Pendaftaran Negara di ibu pejabat JPN di sini Selasa.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Jariah Mohd Said.

Ahmad Zahid berkata sehingga 30 September lepas, sebanyak empat jemaah haji Malaysia meninggal dunia meninggal dunia di Makkah dan Madinah, Arab Saudi dan sijil kematian mereka dihantar kepada waris masing-masing di Johor, Perak, Terengganu dan Kelantan.

Katanya selain daripada maklumat asas individu yang meninggal dunia, maklumat mengenai tarikh, tempat, sebab kematian dan pegawai perubatan yang mengesahkan kematian turut direkodkan di dalam pangkalan data JPN.

Sementara itu, ketika ditanya kebimbangan sesetengah pihak mengenai cadangan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959 yang dilihat seperti memperkenalkan semula penahanan tanpa perbicaraan, beliau mengingatkan pihak berkenaan supaya tidak menyebelahi penjenayah dengan menentang pindaan itu.

(NGO (badan bukan kerajaan) dan peguam tidak seharusnya mempersoalkan niat baik kerajaan dan akta berkenaan adalah untuk penjenayah.

"Tiada lagi penangguhan terhadap akta berkenaan, saya akan membentangkan akta itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini (Selasa)," katanya.

Beliau berkata sebarang kemusykilan mengenai pindaan akta itu seharusnya dibangkitkan oleh anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang di Dewan Rakyat dan bukannya menerusi kenyataan kepada media.

"Saya terbuka untuk berdebat mengenai akta ini tapi jangan gunakan media, gunakan platform yang sesuai iaitu di Parlimen. Saya akan menyampaikan penjelasan saya semasa sesi bahas, mereka yang menentang Akta PCA ini boleh bangkitkannya di Dewan Rakyat," katanya.

Mengenai pemilihan semula anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dalam Kongres Khas DAP baru-baru ini, Ahmad Zahid memuji usaha DAP dalam mematuhi arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya mengadakan semula CEC.

"Saya mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kerana proses pemilihan semula CEC itu telah berjalan lancar dalam keadaan aman selari dengan perlembagaan dan peraturan yang ditetapkan DAP," katanya.

Sementara itu, Jariah berkata 1 Oktober diisytiharkan sebagai Hari Pendaftaran Negara sempena peristiwa bersejarah pelaksanaan Undang-Undang Pendaftaran Negara kali pertama dikuatkuasakan di negeri-negeri Selat pada 1 Oktober 1868.

Selain itu pada 1 Oktober 1948, Kad Pengenalan kertas pertama dikeluarkan kepada penduduk Tanah Melayu, katanya.

Dalam pada itu, Jariah meminta rakyat Malaysia yang masih tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri untuk melaporkan perkara itu kepada JPN dengan segera.

JPN mencatatkan 28.4 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dan memiliki dokumen pengenalan diri iaitu Sijil Kelahiran, Kad Pengenalan atau Sijil Kewarganegaraan Malaysia, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Bahagian Kedah Sokong Soi Lek

Artikel Lain