suria

Polis P.Pinang Buru Anggota Sindiket Curi Jentera Berat

KEPALA BATAS: Polis Pulau Pinang kini memburu beberapa individu yang dikenal pasti sebagai anggota sindiket curi jentera berat dan pembeli, susulan penangkapan dalang sindiket di Penaga, bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri SAC Mazlan Kesah berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditangkap dalam serbuan di sebuah stor pada 16 Ogos lepas dan polis juga berjaya menemui semula enam jentera berat bernilai RM2.3 juta.

"Selain itu kita turut merampas pelbagai anak kunci jentera berat dan berdasarkan siasatan sindiket terbabit menjadikan stor itu tempat menyembunyikan semua jentera berkenaan sebelum menjualnya kepada pembeli," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Katanya berdasarkan siasatan, suspek ialah seorang kontraktor dan mendalangi kegiatan mencuri jentera berat bukan sahaja di negeri ini tetapi juga negeri lain sejak awal tahun ini.

Modus operandi mereka ialah memantau tapak pembinaan dan mengambil gambar jentera berat yang ada di situ bagi mencari pembeli, katanya.

"Sebaik mendapat pembeli mereka akan menyamun tapak pembinaan dengan mengikat penjaga di kawasan berkenaan dan melarikan jentera yang disamun itu menggunakan lori treler serta dibawa ke stor di Penaga itu," katanya.

Mengulas kes lain, Mazlan berkata seorang daripada lima suspek yang ditahan dalam operasi di Taman Impian Alma, Bukit Mertajama awal pagi Selasa, dikehendaki polis berkaitan kes melakukan ugutan jenayah dan merosakkan harta benda awam.

Berdasarkan siasatan, lelaki berusia 20-an itu anggota Geng 04, katanya.

Menurut Mazlan, dalam serbuan 5.20 pagi itu polis juga merampas pelbagai senjata api tiruan.

Mereka yang berusia 18 hingga 29 tahun dengan tiga merupakan anggota Geng 04, direman selama empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-bahan Kakisan, letupan dan senjata berbahaya 1958. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Didakwa Bunuh Suami

Artikel Lain