suria

Keputusan Rayuan Mengerjakan Haji Dua Minggu Lagi - Abdul Azeez

KUALA TERENGGANU: Keputusan 631 rayuan untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi, kata Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata, Tabung Haji terpaksa meneliti dengan mendalam setiap rayuan berikutan pengurangan 20 peratus kuota haji yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi tahun ini.

"Sehingga kini, visa (untuk mengerjakan haji) yang telah dikeluarkan ialah sebanyak 22,300 namun terdapat banyak rayuan permohonan, kebanyakannya daripada isteri yang mahu suami ikut serta mengerjakan rukun Islam kelima itu.

"Ini terjadi apabila isteri dan suami mendaftar haji di tempat yang berbeza dan apabila surat jemputan hanya diterima isteri, mereka tidak mahu pergi melainkan suami turut serta dan Tabung Haji sedang berusaha mengatasi masalah ini sebaiknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kompleks Haji dan TH Hotel Terengganu yang disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di sini Isnin.

Turut hadir ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud.

Abdul Azeez berharap pemohon menerima keputusan itu nanti dengan reda.

"Kalau tak dapat, anggap sahaja tiada rezeki tahun ini dan mungkin dapat pergi tahun depan...yang penting ialah perkhidmatan berkualiti kepada semua jemaah di tanah suci nanti," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain