suria

257 Lelaki Ditahan Dalam Operasi Banteras Lumba Haram & Mat Rempit

KUANTAN: Sebanyak 257 lelaki berusia 16 hingga 30 tahun termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) ditahan dalam operasi membanteras kegiatan lumba haram dan merempit di Jalan Kuantan-Gambang, di sini.

Semua yang ditahan dalam operasi bermula 12 malam tadi hingga 6 pagi ini dipercayai sering berkumpul di situ pada setiap malam minggu sebelum mengadakan lumba haram dan merempit.

Dalam 'Ops Rempit' selama enam jam itu, terdapat beberapa penunggang motosikal bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal masing-masing bagi mengelak daripada ditahan polis.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam/Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, ASP Ahmad Nazri Zainal yang mengetuai operasi itu berkata dua daripada yang ditahan itu berusia 16 dan 21 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine dan pil kuda.

"Sementara seorang OKU, 23, turut ditahan kerana tidak memiliki lesen selain turut merempit," katanya di sini, Ahad.

Menurutnya, sebanyak 109 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dan 31 motosikal disita. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain