suria

Pelajar Bakal Duduki UPSR Dikhuatiri Lemas

MACHANG: Seorang pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bulan depan, Mohammad Muslim Ibrahim, dikhuatiri lemas ketika mandi bersama tiga rakannya di Sungai Kelantan di Kampung Maka, Labok di sini, Khamis.

Gerakan mencari Mohammad Muslim, 12, anak ketujuh daripada sembilan beradik, yang dipercayai hanyut pada 1.30 tengah hari semalam, disambung pukul 8 pagi Jumaat.

Rakannya, Mohd Aman Abdullah, 10, berkata pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Bagan itu memilih untuk mandi di tempat yang lebih dalam di sungai itu, apabila kemudian dia dilihat terkapai-kapai.

"Kami sempat menarik tangannya sebelum Muslim terus tenggelam," katanya kepada pemberita ketika di temui di tempat kejadian. Sementara itu, bapa mangsa Ibrahim Mat, 51, berkata ketika kejadian, beliau ke sekolah anaknya untuk mengambil Mohammad Muslim dan adiknya, tetapi didapati mangsa pulang lebih awal bersama rakannya.

"Sebaik tiba di rumah saya dapati isteri saya sedang menangis dan memberitahu Muslim hilang ketika mandi bersama rakan-rakannya," katanya.

Ketua Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Machang Nordin Yahya berkata operasi mencari setakat ini sejauh dua kilometer dari tempat mangsa dipercayai hilang, membabitkan 70 anggota yang dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Machang dan polis. -BERNAMA

Artikel Lain