suria

Hukuman Gantung Lima Termasuk Tiga Beradik Warga Mexico Kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Rabu mengekalkan sabitan serta hukuman gantung lima lelaki, termasuk tiga beradik warga Mexico, kerana mengedar lebih 29.4 kilogram dadah jenis methampetamine yang dianggar bernilai hampir RM44 juta pada 2008.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azahar Mohamed membuat keputusan itu sebulat suara selepas menolak rayuan pemandu kren yang juga rakyat Malaysia Lee Boon Siah, 49, tukang cat warga Singapura Lim Hung Wang, 56, serta tiga beradik berkenaan iaitu Jose Regino Gonzales Villarreal, 34, Simon Gonzales, 37, dan Luis Alfonso Gonzales, 45.

Dalam penghakimannya, Azahar berkata Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf apabila memutuskan kesemua perayu mengedar dadah berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan hujah kedua-dua pihak, keputusan hakim Mahkamah Tinggi berhubung pembabitan kesemua perayu dalam pengedaran dadah berkenaan adalah betul dan konsisten dengan bukti yang dikemuka.

"Kami mendapati rayuan ini tiada merit. Oleh itu, kami mengekalkan sabitan dan hukuman mati kelima-lima perayu," katanya.

Selain Azhar, Panel itu turut dianggotai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer.

Pada Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Johor Baharu mendapati kesemua tertuduh bersalah melakukan perbuatan itu di kilang IPL Packaging Industries Sdn Bhd, Jalan Idaman 1/5, Taman Perindustrian Senai pada 3.15 petang, 4 Mac 2008.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa berdasarkan bukti, adalah jelas kilang berkenaan digunakan untuk memproses dadah jenis methamphetamine.

Keputusan itu juga menyaksikan Mahkamah Tinggi buat pertama kalinya meneroka bidang baharu dalam perundangan berkaitan definisi pemprosesan dadah bagi tujuan pengedaran.

Peguam Kitson Foong mewakili Lee dan tiga beradik warga Mexico, Lim oleh Rosal Azimin Ahmad manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya How May Ling. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain