suria

Proton Yakin Saga SV Akan Tingkatkan Pendapatan, Keuntungan

Proton Saga Super Value (SV) dijual pada harga RM33,438 hingga RM36,888.- FotoBERNAMA
Proton Saga Super Value (SV) dijual pada harga RM33,438 hingga RM36,888.- FotoBERNAMA
Proton Saga Super Value (SV) dijual pada harga RM33,438 hingga RM36,888.- FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Syarikat kereta nasional, Proton Holdings Bhd, yakin varian baharu Saga FLX, Proton Saga Super Value (Saga SV), akan meningkatkan pendapatan dan keuntungan syarikat itu.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, menjangka syarikat itu dapat menjual 2,000 unit Saga SV sebulan disebabkan oleh peningkatan kualitinya dan penurunan harganya.

"Sebagai permulaan, kami menjangkakan 2,000 unit sebulan, tetapi kami berharap dengan pakej yang kami tawarkan, iaitu pakej yang amat menggalakkan, jualan boleh meningkat kepada lebih 2,000 unit sebulan.

"Kami amat berharap penurunan harga dan peningkatan kualiti kereta ini, akan mewujudkan minat yang lebih tinggi terhadap varian FLX, dan meningkatkan nilai jenama Proton," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Saga SV di sini Sabtu.

Beliau berkata pengenalan Saga SV akan membantu Proton meraih 30 peratus agihan pasaran bagi Saga dalam segmen B menjelang akhir tahun, daripada 24 peratus.

"Saga SV adalah manifestasi komitmen Proton untuk menyediakan ciri-ciri nilai bagi wang yang luar biasa lebih baik kepada rakyat Malaysia, termasuk ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan, kualiti yang lebih baik, praktikal, gaya yang lebih hebat dan kemampuan memilikinya.

"Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha Proton untuk sentiasa memberikan nilai bagi wang yang lebih baik, dan kereta mampu milik kepada rakyat Malaysia, dan menyokong komitmen kerajaan untuk beransur-ansur menurunkan harga," tegasnya.

Kata Khamil, syarikat yang menyasarkan untuk menjadi nombor satu dalam kalangan peserta industri dalam tiga tahun akan datang itu merancang untuk membawa varian baharu itu ke Indonesia dalam jangka terdekat ini kerana ia perlu memenuhi permintaan tempatan terlebih dahulu sebelum mengeksport.

Beliau berkata syarikat kereta itu juga merancangkan model gantian bagi semua rangkaian di bawah jenama Proton.

Saga SV yang berharga dari RM33,438, diupayakan oleh Campro IAFM 1.3 liter yang sama seperti Saga FLX, dan boleh didapati dalam bentuk transmisi manual dan CVT automatik.

Varian baharu itu dipasang dengan, antaranya, roda keluli 13 inci, radio dengan pemain CD, sering kuasa, kawalan cermin sisi manual, signal membelok yang disepadukan dengan cermin sisi, beg udara berkembar dan tali pinggang keledar pra-regangan.

Saga SV yang dikeluarkan dalam enam warna soli wit, elegant brown, tranquility black, genetic silver, fire red dan blue rock - ditawarkan bersama jaminan selama tiga tahun atau jaminan pembuatan 100,000 kilometer. - BERNAMA

Artikel Lain