suria

Tim.Menteri Sains, Teknologi & Inovasi Adalah Bekas Ahli Akademik

MELAKA: Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah adalah antara muka baharu yang dilantik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke dalam kerajaan ketika mengumumkan jemaah menteri dan timbalan menteri pada Rabu.

Abu Bakar, 54, yang dilantik Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Kreativiti, Inovasi dan Pengkomersilandi Jabatan Ketua Menteri Melaka.

Beliau melepaskan jawatan itu yang disandang sejak 2010 untuk bertanding kerusi Parlimen Tangga Batu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang berakhir 5 Mei lepas.

Abu Bakar mempunyai pengalaman luas dalam bidang penyelidikan dan inovasi berdasarkan jawatan yang dipegang sebelum ini, antaranya Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem).

Beliau yang berkelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia serta ijazah kedoktoran dalam bidang teknologi konkrit dari University of Dundee, Scotland, pernah menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia dari 1994 hingga 2003.

Selain menjalankan kajian dan menjadi pensyarah, Abu Bakar turut menghasilkan beberapa buku mengenai kejuruteraan konkrit serta produk satu daerah satu industri.

Bapa kepada tiga anak ini juga aktif dalam bidang politik dan merupakan Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Tangga Batu sejak 2003 dan juga Pengerusi Biro Pendidikan Umno bahagian itu sejak 2004.

Pada PRU13, Abu Bakar menang dengan majoriti undi 15,633 menewaskan Rahim Ali daripada PKR. - BERNAMA

Artikel Lain