suria

Latar Belakang Presiden Transparency International M'sia Datuk Paul Low Yang Dilantik Menteri Di JPM

Paul Low Seng Kuan
Paul Low Seng Kuan
Paul Low Seng Kuan

KUALA LUMPUR: Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan, 67, telah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Low, yang merupakan Pengarah Eksekutif Malaysian Sheet Glass Berhad, akan mengangkat sumpah sebagai Senator untuk memikul tanggungjawab baharunya itu dalam barisan baharu Kabinet Persekutuan.

Beliau, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Peniagaan dari Royal Melbourne Institute of Technology, Australia, sebelum ini merupakan Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia selama tiga tahun mulai 1996.

Beliau, yang juga Pengerusi Institut Analisa Strategi dan Polisi Penyelidikan (INSAP) MCA pada 1996, adalah ahli Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk tempoh tiga tahun sejak April 2011.

Low juga pernah terlibat dengan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 1998 dan Majlis Perundingan Ekonomi Kebangsaan II pada 1999, dan merupakan ahli panel pemikir Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia.

Beliau memulakan kariernya sebagai akauntan dengan Imperial Chemical Industries pada tahun 1969 hingga 1973, sebelum menyertai Malaysian Sheet Glass Bhd sebagai Pengawal Kewangan dan kini menjawat jawatan pengarah eksekutifnya. - BERNAMA

Artikel Lain