suria

Bahaya Sentimen Perkauman Mainan DAP - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan rakyat tentang bahaya berlakunya polarisasi kaum akibat sentimen perkauman yang dimainkan DAP pada pilihan raya umum ke-13 ini kerana ia boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara.

Perdana menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata tindakan pembangkang itu berbahaya dan bertentangan dengan pendekatan BN selama ini yang menjurus ke arah mewujudkan suasana aman dan harmoni di Malaysia.

"Kita tengok penilaian kita daripada sokongan pengundi Cina, ia berbeza mengikut tempat dan wilayah. Ada setengah wilayah itu, saya puas hati dengan sokongan mereka. "Ada setengah tempat, kita perlu berusaha lagi sebab mereka telah termakan dengan hasutan parti pembangkang khususnya DAP yang selalu menimbulkan soal sentimen seolah-olah di bawah BN, kita tidak memberi hak yang sewajarnya kepada orang Cina dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial Media Prima Datuk Ahmad A. Talib dalam program "Mandat 2013" terbitan TV3, malam ini.

"Politik seperti ini berbahaya kerana ini akan membuatkan politik Malaysia lebih polarised. Polarisasi politik Malaysia ini amat serius sebab kita telah sedaya upaya cuba mewujudkan suasana yang aman dan harmoni dalam negara kita, itu pendirian BN.

"Tetapi jika kita main soal sentimen ini, kita akan menimbulkan keadaan yang sungguh tidak sihat, perbalahan politik seperti ini akan merosakkan keharmonian negara kita," tegasnya.

Najib menarik perhatian DAP bukanlah parti bersifat 'multiracial' atau pelbagai kaum seperti yang diuar-uarkan, dan rakyat sendiri telah melihat pemilihan anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang dipertikai anggota parti sendiri.

"Ini cukup serius menafikan lebih 700 anggota mereka daripada menghadiri persidangan, mereka tidak memilih pemimpin Melayu seorang pun. Jadi, mereka bukan parti 'multiracial', dan jika letak satu atau dua calon Melayu juga bukan menjadikan parti itu parti multiracial," katanya.

Beliau berkata hakikatnya yang benar-benar parti bersifat 'multiracial' ialah BN berikutan parti itu bergabung daripada pelbagai parti komponen lain dan mengamalkan sikap tolak ansur, mencapai kata sepakat serta dasar yang mengambil kira pandangan semua kaum.

"Sebab itu, kita boleh 'appeal' (menarik) kepada semua kaum dan DAP hanya 'appeal' kepada orang Cina sahaja. Itu sentimen mereka, DAP tak boleh 'appeal' kepada orang bukan Cina, malah orang India sudah mempertikaikan DAP," katanya.

Najib mengakui bahawa masyarakat Cina bekerja keras, mempunyai kepintaran sebagai usahawan dan tahu untuk menjana kekayaan. Bagaimanapun, katanya, mereka berjaya bersandarkan kepada dasar-dasar kerajaan BN yang mewujudkan persekitaran kondusif untuk perniagaan.

Najib berkata dalam konteks pendidikan, Malaysia merupakan antara negara paling liberal kerana memberi peluang kepada rakyat untuk memilih jenis pendidikan yang dikehendaki untuk anak mereka.

"Sebab itulah di luar negara China, Hong Kong dan Taiwan termasuk Asia Tenggara, tidak ada negara yang mempunyai sistem pendidikan Cina yang begitu komprehensif yang menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan kecuali Malaysia," katanya.

Najib berkata kaum India pula kini semakin yakin dengan BN selepas kerajaan melaksanakan pelbagai program bagi membantu komuniti itu termasuk mewujudkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hal Ehwal Masyarakat India hampir lima tahun lepas. "Sebagai sebuah kerajaan, kita mesti merasai denyut nadi rakyat. Jadi, apabila warganegara Malaysia keturunan India tidak menyokong kita pada pilihan raya umum 2008 yang telah menurun dengan ketara, saya telah membuat analisa dan membuat kesimpulan bahawa kita perlu melakukan program khusus untuk bantu kaum India.

"Sebab mereka terasa mereka agak terpinggir dan mereka mempunyai masalah yang spesifik umpamanya generasi kedua masyarakat estet, bagaimana mereka nak buat peralihan keluar daripada estet masuk kawasan bandar dan sebagainya," katanya.

Katanya penubuhan jawatankuasa kabinet yang dipengerusikan beliau sendiri adalah cadangan beliau kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu sebagai Perdana Menteri selepas menyedari banyak masalah membabitkan masyarakat tersebut.

"Hampir lima tahun kita buat program itu, saya gunakan perkataan 'nambikei' iaitu keyakinan, saya percaya hari ini masyarakat India sudah ada nambikei dengan BN," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain