suria

Pekerja Perlu Jadi Penggerak Utama Pembangunan Negara - Subra

KUALA LUMPUR: Setiap pekerja perlu menjadi penggerak dan pemacu utama kepada pembangunan negara bagi menjayakan agenda transformasi kerajaan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata mereka hendaklah berjuang untuk menjadikan negara boleh bersaing dengan penuh keyakinan, setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Katanya, negara memerlukan tenaga pekerja yang mampu mencipta lebih banyak inovasi dan sentiasa berfikiran di luar kotak serta sanggup meneroka dan mewujudkan pasaran baru.

"Pekerja perlu berani membuat perubahan dan transformasi minda agar ia selari dengan tema sambutan Hari Pekerja tahun ini iaitu 'Pekerja Pemangkin Transformasi Negara'.

"Rebutlah segala peluang disediakan kerajaan sebaik mungkin demi manfaat bersama," katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Pekerja pada Rabu.

Dr Subramaniam berkata semua pekerja, baik penjawat awam, pekerja swasta mahupun yang bekerja sendiri, masing-masing mempunyai tanggungjawab dalam memacu kemajuan negara.

Beliau berkata selama ini pihak kerajaan sudah menunaikan pelbagai tuntutan dan program kebajikan pekerja dan sudah tiba masanya untuk pekerja membuktikan komitmen mereka demi kemajuan negara.

"Pekerja perlu ingat bahawa kemajuan negara adalah tanggungjawab bersama. Masa depan negara kita terletak pada kita sendiri," katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Pekerja. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain