suria

Insiden Tembakan Di Putrajaya Tiada Kaitan Dengan PRU - KPN

ULU KINTA: Polis menolak insiden tembakan di Putrajaya pada pagi Jumaat mempunyai kaitan dengan pilihan raya umum.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihak polis melihat kejadian tersebut sebagai adalah satu kejadian jenayah yang melibatkan pegawai penguatkuasa undang-undang.

"Sehingga kini kita tidak mengaitkan kejadian ini dengan pilihan raya.

"Kejadian ini kita anggap sebagai kejadian berasingan dan belum ada apa-apa maklumat lanjut," katanya pada satu sidang media dekat sini, Jumaat.

Ismail berkata masih terlalu awal bagi pihak polis menyatakan tentang motif-mofif kejadian.

"Biarlah barisan siasatan yang menjalankan tugas mereka.

"Apa yang penting sesiapa juga yang tahu, nampak dan dengar (maklumat) bolehlah berhubung dengan pihak kami," katanya.

Bercakap mengenai tiga kejadian letupan di bilik gerakan di Nibong Tebal, Sekinchan dan Buntong, beliau percaya ia dilakukan untuk mengganggu perjalanan pilihan raya umum.

"Saya melihat kejadian ini untuk cuba menggugat perjalanan pilihan raya kita.

"Ia satu perkara untuk menakut-nakutkan dan berbahaya boleh mencederakan orang walaupun tidak ada yang mengalami kecederaan berat," katanya.

Mengenai kejadian di Buntong, beliau berkata polis telah dapat mengesan identiti suspek dan menunggu masa untuk bertindak.

Katanya pihak polis sentiasa mempertingkatkan kawalan sepanjang musim pilihan raya dan menasihatkan orang ramai menghormati undang-undang dan tidak bertindak mengikut emosi.

Artikel Lain