suria

PRU-13: BN Dijangka Letak Lebih Ramai Calon Wanita Di Sabah

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) dijangka meletakkan lebih ramai calon wanita di Sabah pada pilihan raya umum ke-13 ini selaras dengan dasar parti untuk meningkatkan penyertaan kaum hawa dalam politik.

Menurut sumber yang dipercayai, antara calon yang dikatakan telah disenarai pendek ialah Ketua Wanita Umno negeri Datuk Armani Mahiruddin, Ketua Wanita MCA negeri Datuk Agnes Shim, tokoh guru Datuk Mary Yap Kain Ching, Jornah Mozihim (Parti Bersatu Sabah - PBS), Ketua Wanita Umno Semporna Manis Muka Dara, Ketua Wanita Umno Silam Saleha Abdul Wahid dan Ketua Puteri Umno Kalabakan Noraini Abdul Ghapur.

Pada pilihan raya umum 2008, BN meletakkan enam calon wanita termasuk dua bagi kerusi parlimen iaitu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin (Umno) dan Datuk Chua Soon Bui (Parti Maju Sabah - SAPP) yang masing-masing bertanding di Papar dan Tawau.

Empat calon yang bertanding bagi kerusi dewan undangan negeri ialah Datuk Melanie Chia (SAPP/Luyang), Datuk Jainab Ahmad (Umno/Karambunai), Datuk Hamisa Samat (Umno/Tanjung Batu) dan Anita Baranting (PBS/Tandek).

Bagaimanapun Chua dan Melanie bersama pemimpin SAPP bertindak keluar daripada BN pada 17 September 2008.

Pada 2010, BN meletakkan Datin Linda Tsen Thau Lin daripada PBS untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan beliau menang dengan majoriti 6,359 undi.

Kerusi itu kosong susulan kematian penyandang Datuk Edmund Chong Ket Wah yang juga suami Tsen.

Sementara itu, Ketua Wanita PBS Senator Datuk Jamilah Sulaiman berkata, beliau optimis lebih ramai calon wanita akan bertanding di Sabah pada pilihan raya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain