suria

Salahudin Ayub Tanding Parlimen Pulai?

JOHOR BARU: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dijangka bertanding di Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-13 berdasarkan status yang dimuat naik ke laman sosial Facebooknya, pada Sabtu.

Meskipun belum diumum secara rasmi oleh pucuk pimpinan PAS, status yang dimuat naik bekas Anggota Parlimen Kubang Kerian itu pada kira-kira 8 malam, sedikit sebanyak menjawab pertanyaan sama ada beliau bertanding di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Ini memandangkan sejak mengumumkan akan kembali bertanding di Johor pada akhir tahun lepas, anak kelahiran Kg Serkat, Pontian itu dilihat tercari-cari kawasan yang sesuai untuknya.

Antara kawasan yang sering disebut beliau termasuk DUN Nusajaya, DUN Putri Wangsa dan Parlimen Tebrau, sebelum memilih Parlimen Pulai.

Pada pilihan raya umum lepas, kawasan P161 Pulai dimenangi Datuk Nur Jazlan Mohamed dengan majoriti 20,499 undi menewaskan calon PAS Abdullah Idris.

Jika benar Salahuddin ingin bertanding di Parlimen itu, beliau dilihat seakan-akan sengaja 'menggali kubur politiknya' sendiri kerana sokongan pengundi di kawasan berkenaan dilihat lebih memihak kepada BN.

Selain itu, Anggota Parlimen Pulai iaitu Nur Jazlan cukup disenangi penduduk kawasan berkenaan tidak kira Melayu, Cina atau India kerana kerap turun padang dan menjaga kebajikan rakyat di situ.

Sementara itu, Salahuddin yang dihubungi berkata status di laman sosial berkenaan hanyalah satu indikator tidak rasmi kerana kawasan di mana beliau bertanding akan diumum pucuk pimpinan parti dalam tempoh terdekat.

"Itu hanya indikator tidak rasmi, malah ada juga mengaitkan saya akan bertanding di DUN Nusajaya, tetapi kita tunggulah nanti pengumuman rasmi," katanya.

Salahuddin berkata sebagai anak Johor, beliau sedar bukan mudah untuk bersaing dengan BN mahupun Umno kerana negeri ini sememangnya dikenali sebagai kubu kuat parti itu.

"Namun, saya rasakan penerimaan rakyat kini berbeza dan kita jangka akan berlaku persaingan sengit dalam pilihan raya di negeri ini nanti," katanya. BERNAMA

Artikel Lain