suria

Lelaki Indonesia, Wanita Tempatan Ditahan Hasilkan Dan Edar Pil Khayal

JOHOR BAHARU: Polis menumpaskan sindiket menghasilkan dan mengedar pil khayal dengan penahanan seorang lelaki rakyat Indonesia dan seorang wanita tempatan dalam serbuan berasingan di Permas Jaya, di sini, minggu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata dalam dua serbuan itu polis merampas pelbagai jenis pil khayal bernilai hampir RM1.3 juta.

Katanya lelaki berusia 60 tahun itu ditahan kira-kira 6.20 petang, 28 Mac lepas di sebuah banglo di Bandar Baru, Permas Jaya dan wanita berusia 28 tahun itu ditahan keesokan harinya, kira-kira pukul 2 pagi, di sebuah unit kondominium di Permas Jaya.

Dalam serbuan di rumah lelaki itu, polis menemui serbuk ecstasy seberat 652 gram, serbuk syabu (618 gram), serbuk ketamin (6,090 gram) dan serbuk kafein (47,638 gram) yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM676,560, katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai peralatan untuk menghasilkan pil khayal itu termasuk mesin pencetak pil serta sebuah kereta Porsche Carerra.

Mohd Mokhtar berkata dalam serbuan di rumah wanita itu pula, polis menemui pil ecstacy seberat 2.48 kilogram dan enam pil erimin 5 dianggarkan bernilai RM620,450.

Beliau berkata kesemua dadah itu mampu dibekalkan kepada 287,400 orang penagih dan polis percaya kedua-dua mereka turut terlibat dalam rangkaian antarabangsa.

Katanya lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan positif barang larangan itu manakala wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Selain dadah yang dirampas, polis turut menyita sebuah rumah banglo dan dua buah kereta milik suspek yang dianggarkan bernilai RM2.68 juta. Kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi siasatan lanjut," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain