Mahkamah Persekutuan Benarkan Buku Terbitan Sisters in Islam - Semasa | mStar

Mahkamah Persekutuan Benarkan Buku Terbitan Sisters in Islam

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi membatalkan larangan kementerian itu ke atas buku 'Muslim Women and the Challenges of Islamic Extremism' oleh pertubuhan bukan kerajaan Sisters in Islam (SIS), yang didakwa memudaratkan ketenteraman awam.

Panel lima hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff berkata KDN gagal memenuhi syarat Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk mendapat kebenaran merayu.

Mengikut seksyen ini, seorang pemohon perlu meyakinkan Mahkamah Persekutuan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah berkaitan apa-apa kausa atau perkara sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dalam menjalankan bidang kuasa asalnya dan ia melibatkan persoalan prinsip umum yang diputuskan bagi kali pertama atau sesuatu persoalan penting yang memerlukan penghujahan lanjut dan keputusan Mahkamah Persekutuan akan memberi manfaat awam.

Terdahulu, KDN, yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Noor Hisham Ismail, mengemukakan dua isu undang-undang dalam permohonan itu bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mendengar merit rayuan berkenaan.

Bagaimanapun, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan perkara itu dengan betul berdasarkan fakta. Beliau berkata permohonan KDN harus ditolak atas alasan isu undang-undang yang dibangkitkan telahpun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2009.

Pada 27 Julai tahun lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abdul Wahab Patail mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan berpendapat dakwaan KDN bahawa penerbitan buku itu memudaratkan ketenteraman awam, tidak disokong bukti yang jelas.

KDN mengharamkan buku itu pada 31 Julai 2008 dan SIS memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Dis 2008 untuk satu perintah certiorari bagi membatalkan larangan itu. Bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu dan pada 26 Ogos 2009, SIS dibenar memulakan semakan kehakiman.

Pada 25 Jan 2010, Mahkamah Tinggi membatalkan larangan KDN ke atas buku itu selepas membenarkan semakan kehakiman.

Buku 215 halaman itu, yang diterbit pada Oktober 2005, mengandungi himpunan esei oleh aktivis dan intelektual antarabangsa. -BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain