suria

Mahkamah Benarkan Pakar Perubatan Periksa Nirmala Bonat

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi yang mendengar kes saman pembantu rumah warga Indonesia Nirmala Bonat, pada Rabu membenarkan permohonan bekas majikannya Yim Pek Ha supaya pakar perubatan memeriksa keadaan mental dan kecederaan wanita itu.

Hakim, Siti Khadijah S.Hassan Badjenid membenarkan Nirmala diperiksa bagi mengesan sama ada kecederaannya disebabkan oleh Yim atau sebaliknya.

Beliau juga memutuskan supaya Yim, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana didapati bersalah mencederakan Nirmala, hadir ke mahkamah sebagai saksi.

Pada 5 Disember tahun lepas, Yim dan suaminya Hii Ik Ting memfailkan notis permohonan untuk membolehkan Nirmala, 29, diperiksa pakar perubatan berikutan dakwaan dan tuntutan yang dibuat oleh Nirmala.

Mahkamah menetapkan 3 hingga 5 Jun untuk perbicaraan.

Ketika prosiding, peguam Chan Vy Sing yang mewakili Yim dan suaminya, memberitahu mahkamah bahawa keadaan mental dan kecederaan yang dialami Nirmala perlu diperiksa bagi memastikan ia disebabkan oleh Nirmala sendiri atau Yim.

Sementara itu, peguam M. Kavimani, bagi pihak Nirmala, berkata kecederaan yang dialami warga Indonesia itu adalah disebabkan oleh perbuatan Yim seperti diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Pada 28 Januari 2010, Nirmala memfailkan saman terhadap Yim dan Hii dengan mendakwa Yim telah mencederakannya dan Hii pula gagal menghalang isterinya daripada berbuat demikian serta gagal memberikan rawatan perubatan yang sewajarnya kepada beliau.

Nirmala menuntut ganti rugi am bagi kesakitan dan penderitaan yang dialaminya serta ganti rugi khas lebih RM40,000 bagi kehilangan pendapatan, perbelanjaan perubatan dan perbelanjaan lain yang akan ditaksirkan mahkamah.

Pada 1 Oktober tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhi hukuman penjara 12 tahun terhadap Yim yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala sembilan tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain