suria

Angkasa Sasar Tubuh 1,000 Koperasi Kariah Masjid Di Seluruh Negara

KUALA TERENGGANU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mensasarkan untuk menubuhkan 1,000 Koperasi Kariah Masjid (KKM) di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Presiden Angkasa, Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata, sehingga kini terdapat 300 buah masjid di seluruh negara telah menubuhkan KKM yang antara lain menjalankan perniagaan kedai runcit.

"Bagi Angkasa, kita galakkan Koperasi Kariah Masjid terlibat dalam peruncitan dengan memberi perkhidmatan membekalkan barang-barang makanan kepada anggota kariah.

"Setakat ini kita telah menjalin kerjasama dengan tiga pembekal makanan ternama di negara ini bagi membekalkan barangan kepada Angkasa," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Mohd Ali berkata, usaha itu mampu dicapai kerana kini terdapat 6,600 buah masjid di seluruh negara dengan Angkasa turut membantu dan memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam usaha menubuhkan KKM.

"Angkasa mensasarkan untuk membantu SKM mewujudkan 1,000 KKM menjelang akhir tahun ini," katanya.

Mohd Ali berkata, usaha mengembangkan perniagaan dalam bidang peruncitan di kalangan KKM perlu dibuat bagi mewujudkan rangkaian pemasaran produk koperasi yang berpotensi untuk menjadi rangkaian perniagaan runcit bagi rakyat negara ini.

Katanya, Angkasa bersedia membekalkan sistem pengurusan berkomputer secara percuma kepada KKM bagi melicinkan pentadbiran koperasi berkenaan.

Beliau berkata, Angkasa juga akan membimbing mana-mana KKM untuk membuka kedai runcit dan menyelaras bekalan barangan untuk mereka.

Katanya Terengganu, 70 daripada 500 buah masjid di negeri itu telah memohon untuk menubuhkan KKM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain