suria

MB S'gor Tak Setuju Tanah Mardi Ditukar Jadi Universiti Perubatan Luar Negara

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Selasa menyangkal dakwaan kononnya kerajaan negeri menghalang rancangan pembinaan kampus Universiti Perdana di Serdang.

Beliau berkata, pihaknya tidak sama sekali menahan pembangunan kampus universiti itu tetapi ia lebih kepada tujuan asal bagi tanah yang mahu dibangunkan untuk pembinaan berkenaan.

"Tanah yang dirancang untuk membina universiti itu adalah tanah milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) bagi tujuan penyelidikan pertanian dan bukannya untuk membuat bisnes.

"Kalau tujuan untuk buat bisnes, kerajaan negeri lebih pandai. Suruhlah PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) buat, kenapa syarikat lain yang nak buat?

"Saya tidak menahan pembangunan itu tetapi ia perlu dibeli tanah pada harga pasaran. Jangan gunakan Mardi untuk dapatkan tanah percuma. Jadi, rugilah rakyat Selangor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Kediaman Pekerja Industri di Kelana Jaya, di sini Selasa.

Beliau mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Noh Omar bahawa kerajaan negeri masih enggan meluluskan syarat tukar tanah yang menyebabkan kerjasama Sekolah Perubatan Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat itu tidak dapat dilaksanakan di kawasan tersebut sehingga kini.

Abdul Khalid bagaimanapun berkata: "Kalau orang Selangor tanya kenapa biarkan dia (Noh) buat universiti beratus juta (ringgit) tetapi apa yang dapat oleh kerajaan negeri Selangor? Jawapannya yang dapat adalah universiti.

"Itu bukan jawapan yang betul. (Sebenarnya) kita kena dapat premium baru daripada pembangunan tanah yang berlainan," jelasnya.

Dilaporkan Noh menegaskan bahawa pembinaan kampus Universiti Perdana itu sepatutnya siap tahun ini selepas dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 12 September 2011 di atas tanah milik Mardi di Serdang yang dijual kepada universiti tersebut sebelum ini.

Namun pihaknya dimaklumkan kerajaan negeri tidak meluluskan penukaran syarat tanah tersebut daripada status pertanian kepada bangunan menyebabkan kampus Universiti Perdana tidak dapat dibina.

Artikel Lain