suria

Wanita Tolak Pengawal Keselamatan Sambil Pegang Pedang Arab

PUTRAJAYA: Mahkamah Sesyen di sini diberitahu seorang wanita menahan seorang pengawal keselamatan dengan tangan kirinya untuk menolak bahagian dada lelaki itu manakala tangan kanannya memegang sebilah pedang Arab.

Kamarunzaman Samat, 58, yang bersara pada 5 Januari lepas, berkata ketika wanita itu, yang dicam sebagai Muhdalena Ahmad, mengarahkan beliau agar tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencederakannya (Kamarunzaman).

Beliau berkata wanita itu turut memaklumkan bahawa dia (Muhdalena) dari kumpulan Al-Maunah yang berani mati, dan dia tidak kisah apa akan berlaku pada hari tersebut.

Katanya, beliau kemudian cuba menenangkan Muhdalena dan seorang lelaki yang bersama wanita itu.

Kamarunzaman berkata lelaki itu, yang turut memegang pedang samurai, juga ada menyatakan dia berani mati dan sudah bersedia untuk mati pada hari tersebut.

Katanya, beliau ke Kompleks B Jabatan Perdana Menteri pada 9 Julai tahun lepas setelah dimaklumkan terdapat satu kejadian amuk di sana, dan orang yang mengamuk membawa senjata.

Kamarunzaman berkata ketika itu, beliau merupakan pengawal keselamatan kanan di Jabatan Perdana Menteri dan berada di Parcel A semasa mendapat maklumat tersebut pada 2.30 petang.

"Saya cuba tenangkan keadaan. Lelaki itu suruh saya ikut serta melakukan amukan itu. Saya tolak. Masa saya tolak, lelaki itu marah, dia paksa saya. Saya cuba lagi tenangkan keadaan. Saya fikir keadaan akan tenang jika saya ikut dia.

"Bila saya ikut arahan dia, saya kata oklah, kita sama-sama berjuang hari ini, dia terus buang pedangnya ke atas rumput," katanya pada hari kedua perbicaraan kes Muhdalena yang berdepan empat pertuduhan termasuk ugutan jenayah dan membawa pedang.

Kamarunzaman berkata selepas membuang pedangnya, lelaki itu terus melutut di dengannya sambil berterima kasih kerana turut berjuang bersama.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan sedikit tegang apabila seorang awam yang ingin membantunya (Kamarunzaman), cuba masuk ke lokasi kejadian untuk menghampiri mereka, kerana lelaki itu tiba-tiba berang dan meminta Muhdalena mengambil semula pedang.

"Dia mengamuk dengan saya dan arahkan saya duduk dan ugut nak pancung kepala saya. Perasaan saya takut masa itu tapi saya tawakal sebab dalam hati saya, saya fikir saya tidak akan mati di tangan dua orang ini," katanya.

Kamarunzaman berkata ketika lelaki itu mula-mula meminta untuk bertemu Perdana Menteri, beliau memaklumkan bahawa Perdana Menteri tidak ada di pejabatnya dan lelaki itu kemudian meminta untuk bertemu dengan pegawai dan pegawai atasan, namun alasan yang diberikannya adalah sama iaitu mereka tiada di bilik masing-masing.

Beliau berkata lelaki itu terus mengamuk dan beliau cuba menenangkannya. Selepas itu, katanya, lelaki tersebut meminta air dan ingin merokok.

Kamarunzaman berkata beliau kemudian membawa pasangan itu ke sebuah bilik berhawa dingin selepas lelaki tersebut memberitahu dia berasa panas.

"Pada mula, dia ikut saya, bila saya masuk ke dalam bilik itu, saya lihat dia tak ada, dia dah jalan ke tempat awam balik," katanya sambil menambah beliau tidak ikut lelaki itu tetapi balik ke Parcel B, dan pada masa itulah, kedengaran tiga das tembakan.

Kira-Kira 10 minit kemudian, beliau nampak dari jauh lelaki itu bersandar pada tiang dengan wanita itu di sebelahnya, dan mereka dikelilingi anggota polis.

Terdahulu, seorang lagi pengawal keselamatan Hasliza Ramli, 34, memberitahu mahkamah pada hari kejadian, beliau melihat seorang lelaki meluru masuk ke dalam kompleks B dan melaungkan "Allahuakbar" sebelum tiga das tembakan kedengaran.

Hasliza berkata beliau mematuhi arahan seorang anggota polis untuk memeriksa badan Muhdalena dan tidak menjumpai apa-apa senjata berbahaya, sebaliknya maskara hitam, sebungkus ubat dan telefon bimbit.

"Selepas itu, saya lihat wanita itu mempunyai luka tembakan di peha sebelah kanan," katanya.

Hasliza kemudian duduk bersama Muhdalena sehingga ambulans tiba kerana wanita itu enggan melepaskan tangan beliau yang dipegangnya.

Katanya, beliau sempat berbual dengan Muhdalena di dalam ambulans ketika mengiringi wanita itu ke Hospital Putrajaya atas permintaan wanita itu, dan tertuduh ada memberitahu tujuan mereka datang ke situ adalah untuk 'tolong golongan bawahan daripada ditindas oleh pihak atasan, dan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk bincang hal-hal agama".

Muhdalena, 28, dari Kota Damansara, berdepan empat pertuduhan mengikut Kanun Keseksaan, Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

Dia didakwa mengugut anggota polis bantuan Lans Koperal Ridzuan Megat Ahmad dalam kawasan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri pada 9 Julai, 2012 serta memiliki senjata iaitu pedang di tempat dan pada masa yang sama.

Bagi pertuduhan mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan, Muhdalena didakwa tidak mematuhi arahan Ridzuan supaya meletakkan pedang dan gagal mematuhi arahan menteri, iaitu perlu mendapatkan pas atau permit sebelum memasuki premis itu.

Perbicaraan di depan Hakim Mohamad Kamil Nizam bersambung pada Rabu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain