suria

Peter Chin Sangsi Kerajaan Selangor Boleh Ambil Alih Perkhidmatan Air

KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui meragui kerajaan Selangor boleh mengambil alih perkhidmatan air dalam negeri itu daripada pemegang konsesi.

"Saya meragui perkara ini boleh berlaku," katanya yang merujuk kepada pengumuman Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada 6 Februari yang menyatakan bahawa kerajaan negeri itu akan mengambil alih perkhidmatan air dalam masa 14 hari.

Beliau berkata pengambilalihan hanya boleh berlaku dengan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan atau arahan mahkamah.

Kemungkinan lain ialah sekiranya negeri itu telah memuktamadkan rundingan (dengan pemegang konsesi) yang mana beliau tidak tahu mengenainya, kata Chin.

"Saya tidak ada maklumat. Saya tidak tahu bagaimana beliau (Khalid) boleh mengambil alih (perkhidmatan air)," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan perayaan Tahun Baharu Cina Tenaga Nasional Bhd di sini, Isnin.

Konsesi air di Selangor dipegang oleh empat syarikat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Holdings Bhd, Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd dan Konsortium Abbas.

Syabas dimiliki 70 peratus oleh Puncak Niaga dan 30 peratus oleh kerajaan negeri menerusi anak-anak syarikatnya. - BERNAMA

Artikel Lain