suria

Rumah Dan Kereta Pegawai Kastam Disimbah Cat

JOHOR BARU: Lima individu dipercayai telah menyimbah cat berwarna coklat kepada rumah dan sebuah kereta milik seorang pegawai kastam di Taman Desa Skudai di sini awal pagi Sabtu.

Ketika kejadian 1.45 pagi itu, pegawai berkenaan Ismail Sulaiman, 55, dan keluarganya sedang tidur dan terjaga apabila terdengar bunyi bising di luar rumahnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Hashim Haron berkata cermin dua lagi kereta mangsa iaitu jenis Proton Iswara dan Pajero turut dipecahkan.

Mangsa dilapor bekerja di Bahagian Pengimbas di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah.

"Apabila keluar untuk melihat bunyi bising itu, mangsa mendapati rumah dan keretanya jenis Toyota Wish yang diletak di hadapan rumah di dalam pagar telah disimbah cat sementara cermin dua lagi kenderaannya yang diletak di luar pagar telah dipecahkan," katanya.

Hashim berkata motif kejadian belum diketahui.

Sementara itu Ismail berkata beliau sempat melihat kelibat lima individu yang melarikan diri sebaik melihatnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak yang kurang senang dengan ketegasannya menjalankan tugas. - BERNAMA

Artikel Lain