suria

Polis Kelantan Rampas Pelbagai Jenis Dadah Bernilai Lebih RM125,000

KOTA BARU: Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM125,000 dan menahan tiga suspek termasuk seorang wanita dalam satu sekatan jalan raya di sini pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Supt Amran Ramli berkata kejayaan itu susulan penangkapan ketiga-tiga suspek yang berumur dalam lingkungan 20-an itu dalam satu sekatan jalan raya di Lemal, Pasir Mas, pada 10 malam, Khamis lepas.

"Ketika pemeriksaan ke atas kereta pertama yang dinaiki suspek lelaki dan perempuan itu, 200 pil kuda disorokkan di dalam 'dashboard' hadapan kereta manakala1,000 pil kuda lagi dijumpai di dalam poket seluar lelaki tersebut.

"Rakan suspek yang memandu kereta berasingan turut ditahan dalam sekatan jalan raya itu di mana 193 biji pil kuda dijumpai di atas lantai bahagian pemandu," katanya kepada pemberita di IPK Kelantan di sini, Sabtu.

Amran berkata ketiga-tiga suspek kemudian membawa polis ke sebuah hotel murah di sini pada 2 pagi Jumaat di mana 60 biji pil Eramin 5 dan 4,000 biji pil kuda di jumpai di beberapa bilik berasingan, disamping wang tunai RM22,050.

"Kami percaya dapat melumpuhkan satu sindiket dadah yang aktif mengedarkan barangan larangan tersebut di negeri ini dengan menjadikan hotel murah sebagai stor tempat menyimpan dadah tersebut," katanya.

Katanya ketiga-tiga suspek ditahan reman sejak Jumaat hingga 3 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain