suria

KPDNKK P.Pinang Rampas 9,000 Keping CD Dan VCD Cetak Rompak

GEORGE TOWN: Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang merampas 9,000 keping cakera padat dan video cakera padat cetak rompak bernilai RM45,000 setelah menyerbu sebuah premis di Bukit Mertajam dekat sini Selasa.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya Abdul Rosik Yakub berkata dalam serbuan pada pukul 11 pagi itu, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 20-an yang sedang menjual barang cetak rompak berkenaan.

"Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Hakcipta 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataan di sini Rabu.

Dalam perkembangan lain, KPDNKK negeri berjaya membongkar aktiviti penyelewengan gas asli cecair (LPG) bersubsidi kegunaan domestik dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Veldor, Seberang Prai Selatan pada pukul 3 petang hari yang sama.

Beliau berkata hasil risikan dan maklumat awam, pihaknya menemui 150 tangki LPG bernilai RM10,000 di lokasi kejadian namun tiada tangkapan dibuat.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana mengeksploitasi barang kawalan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain