Isu Kenaikan Cukai Pintu, Lesen Perniagaan: PBT Jangan Ambil Kira Kepentingan Politik - BN Selangor - Semasa | mStar

Isu Kenaikan Cukai Pintu, Lesen Perniagaan: PBT Jangan Ambil Kira Kepentingan Politik - BN Selangor

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor meminta supaya kerajaan negeri tidak mengira kepentingan politik dalam soal kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT), yang turut mempunyai kaitan dengan tindakan PBT mengenakan kenaikan cukai pintu dan bayaran lesen.

Dilaporkan, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertindak untuk menaikkan cukai pintu sehingga 10 kali ganda di Kampung Baru Sungai Buloh dan Kampung Baru Subang, serta keputusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menaikkan bayaran lesen 90 jenis perniagaan, masing-masing mulai tahun depan.

Ini turut termasuk tindakan PBT negeri yang turut mengenakan bayaran ke atas 32 jenis premis yang sebelum ini dikecualikan di bawah kerajaan BN.

Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata, kenaikan cukai itu hanya membebankan rakyat kerana perkhidmatan oleh PBT yang diberikan tidak setimpal dengan bayaran yang dikenakan.

"Kita panjangkan (hal ini) kepada PBT, tetapi apabila melihat ia daripada BN, mereka tak nak respon. Saya rasa ia satu tindakan tidak bertanggungjawab.

"Apa yang kita lakukan ini adalah masalah yang dibangkitkan oleh rakyat tanpa mengkategorikan mereka sama ada mereka penyokong BN atau tidak.

"(Oleh itu) jangan ambil perkara ini sebagai pertimbangan politik (dalam memberikan maklum balas)," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Sehubungan itu, Mohd Zin berkata, beliau meminta supaya pihak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memberikan arahan supaya maklum balas mereka diambil oleh PBT tanpa mengambil kira kepentingan politik kerana ia adalah masalah rakyat.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor berkata, lebih membebankan apabila kenaikan cukai itu berlaku hampir setiap tahun apabila meningkat sejak 2011 dan 2012 serta kenaikan pada 2013 adalah lebih tinggi.

"Saya mendapat maklumat bahawa ada penduduk yang membayar cukai pintu sebanyak RM1,470 pada 2011, menerima notis bayaran sehingga RM23,040 pada 2013. Ini bukan lipat ganda tetapi 'lipat maut'.

"Masalah penyelenggaraan infrastruktur yang lemah dan sistem kutipan sampah tidak cekap menyebabkan justifikasi kenaikan cukai ini langsung tidak boleh diterima. Lebih menyedihkan, rakyat seperti tertipu apaba pakatan rakyat berjanji akan menurunkan sehingga 20 peratus dalam manifesto mereka ketika PRU (pilihan raya umum) ke-12 yang lalu," katanya.

Mengenai bayaran lesen ke atas 32 jenis premis yang sebelum ini dikecualikan, Mohd Zin berkata, antara yang turut dikenakan ialah rumah kebajikan orang tua, rumah orang kurang upaya dan pusat penjagaan kanak-kanak.

Beliau berkata, golongan itu rata-ratanya mendapat sumber kewangan daripada sumbangan dan derma orang ramai, malah kebanyakan rumah kebajikan itu beroperasi dalam keadaan daif.

"Adakah mereka (kerajaan negeri) melihat ini sebagai satu sumber hasil negeri, kata pandai menguruskan kewangan. Adakah ini disebut sebagai satu kecekapan?

"Saya rasa tindakan ini tak patut, kita desak kerajaan negeri batalkan hasrat untuk menaikkan bayaran lesen dan cukai pintu," katanya.

Berhubung PBT yang tidak memberi maklum balas kepada BN Selangor, Mohd Zin berkata: "Terdapat tiga PBT dan namanya akan didedahkan dalam waktu terdekat. Kita tunggu dahulu apa maklum balas mereka."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

Artikel Lain

Gempar juruterbang kesan UFO bentuk cerut