suria

Kem PLKN Diberi Pengalaman Proses Pilihan Raya Tahun Depan

BESUT: Kesemua 81 kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan diberi pendedahan terhadap proses pilihan raya dalam usaha mendidik pelatih mengetahui amalan demokrasi di negara ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kecil.

Beliau berkata proses pilihan raya itu akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di kem-kem PLKN tahun depan untuk memberi pengalaman kepada pelatih dalam mempraktik dan memahami asas demokrasi.

Abdul Hadi berkata keputusan mengadakan proses pilihan raya itu dibuat setelah simulasi yang dijalankan di 14 kem PLKN baru-baru ini menunjukkan kesan baik kepada pelatih.

Katanya, dalam proses latihan pilihan raya itu nanti SPR akan menetapkan peraturan dan lambang mana-mana parti yang akan bertanding pada pilihan raya PLKN itu.

"Dalam latihan pilihan raya itu, kesemua 15,000 pelatih akan terbabit bermula daripada pembubaran, kempen, penamaan calon, pengundian sehinggalah pengiraan undi," kata Abdul Hadi kepada pemberita ketika melawat Kem PLK NSaujana Impian, Jabi yang baru dibuka dekat sini Rabu.

Beliau berkata proses pilihan raya terkandung dalam subjek Modul Kenegaraan yang dipelajari oleh pelatih yang akan disesuaikan mengikut proses pilihan raya kem yang akan diadakan itu nanti.

Abdul Hadi memperbetulkan salah anggap sesetengah pihak terhadap kenyataan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Dr Tiki Lafe baru-baru ini bahawa pelatih PLKN akan dibenar aktif berpolitik semasa menjalani latihan selama tiga bulan, mulai tahun depan.

Beliau berkata apa yang dimaksudkan oleh Tiki ialah pelatih hanya dibenar giat berpolitik secara dalaman kem dan bukan secara bebas hingga ke luar kem kerana ia menyalahi peraturan sekiranya mereka masih berumur 18 tahun.

Beliau berkata satu program pendedahan mengenai PLKN membabitkan kawasan pedalaman termasuk penempatan Orang Asli, perkampungan masyarakat Cina dan India di estet-estet serta Sabah dan Sarawak sedang dirancang diadakan mulai tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi memberitahu sebanyak 11 kem PLKN di seluruh negara telah tidak disambung kontrak kerana beberapa pelanggaran terhadap peraturan.

Katanya, selain tidak mampu memenuhi permintaan kontrak, ada juga kem yang terbabit dengan kes mahkamah yang memaksa pihak JLKN memberhentikan perkhidmatan kem-kem berkenaan baru-baru ini.

Abdul Hadi berkata Kem PLKN Saujana Impian dibina bagi mengantikan Kem Agro Setiu yang terdahulu, kerana sudah tidak sesuai lagi digunakan sebagai pusat latihan JLKN.

Kem tersebut yang menerima seramai 257 pelatih dibina dengan kos RM12 juta lengkap dengan infrastruktur melebihi panduan minimum dan mempunyai laluan berbumbung bagi kemudahan pelatih. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Waspada Sampai Mesej Islam - Hadi

Artikel Berikut

Artikel Lain