suria

Punca Pesawat Twin-Otter Tergelincir Masih Disiasat - MAS

MIRI: Punca sebenar pesawat Twin-Otter (DHC6) milik MASwings tergelincir semasa mendarat di Lapangan Terbang Marudi Rabu lalu masih belum diketahui.

Pengarah Operasi Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Kapt Izham Ismail berkata MASwings, anak syarikat MAS masih menunggu hasil siasatan Jabatan Penerbangan Awam dan menolak cadangan sesetengah pihak agar pesawat lama digantikan.

"Usia lama pesawat dan insiden/kemalangan bukan faktor penentu untuk penggantian," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Izham berkata MASwings akan melaksana dan mencadangkan peningkatan keselamatan operasi penerbangan, jika ada, dalam hasil siasatan.

"MASwings akan terus memberi keutamaan bagi memastikan operasi keselamatan penerbangan semua pesawat di dalam flitnya demi keselamatan dan keselesaan staf serta pelanggan," tambahnya.

MASwings memiliki empat pesawat Twin-Otter dan beroperasi purata sekitar 250 penerbangan seminggu di Sabah dan Sarawak menggunakan pesawat 17 tempat duduk.

Bernama baru-baru ini melaporkan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Telang Usang (BN), Dennis Ngau menyeru MASwings menggantikan pesawat lamanya dengan yang baru.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian kira-kira 2.33 petang pada Rabu itu yang kesemua 17 penumpang dan dua kru pesawat keluar dengan selamat.

Pengangkutan udara menjadi pilihan di utara Sarawak meliputi Miri dan Limbang berikutan faktor geografinya yang bertanah tinggi dan kurang jalan bertar. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain