suria

Bekas Atlet Remaja Negara Gagal Dalam Permohonan Saman Terhadap PPUM

GEORGE TOWN: Bekas atlet remaja negara Nor Azleen Mohammad Mustafa gagal dalam permohonan saman terhadap Pakar Perubatan Jabatan Ortopedik, Fakulti Perubatan Universiti Malaya Dr Omar Md Isa dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang didakwa cuai ketika melakukan pembedahan membetulkan tulang belakangnya pada 3 September 2005.

Hakim Mahkamah Tinggi Nurmala Salim menolak tuntutan saman berjumlah RM3 juta itu dengan kos RM5,000.

Dalam penghakimannya Nurmala berkata plaintif gagal membuktikan Dr Omar sebegai defendan pertama telah melakukan kecuaian ketika menjalankan pembedahan itu.

"Walaupun dalam surat keizinan yang ditandatangani oleh waris plaintif tidak dinyatakan risiko akibat pembedahan, tetapi secara munasabahnya perbincangan telah dilakukan sebelum waris menandatangani surat keizinan," katanya.

Nor Azleen yang diwakili peguam bela N. Ahilan menghadapi komplikasi saraf tunjang akibat luka terkena alat yang digunakan untuk pembedahan itu, akibatnya beliau lumpuh dari pinggang ke bawah dan terpaksa menjalani fisioterapi dalam tempoh yang panjang.

Beliau juga menghadapi masalah untuk mengawal sistem pembuangan air kecil dan besar akibat daripada luka yang dialami pada saraf tunjangnya.

Nur Azleen juga terpaksa memakai brace sehingga tulang belakangnya menjadi keras dan tidak boleh terlibat dengan acara sukan. Nur Azleen dalam tuntutan samannya memohon defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM3 juta, faedah, kos dan relif-relif selanjutnya yang dianggap suaimanfaat oleh mahkamah.

Sementara itu di luar mahkamah, Ahilan memberitahu bahawa pihaknya akan memfail rayuan kes itu di Mahkamah Rayuan dalam tempoh terdekat.

Dr Omar dan PPUM sebagai defendan kedua diwakili oleh peguambela Sharmini Navaratnam daripada tetuan Siva Dharma & Associates. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain