suria

KWSP Tarik Balik Penggantungan Public Mutual Sebagai IPD

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menarik balik penggantungan perkhidmatan Public Mutual Bhd sebagai satu Institusi Pengurusan Dana (IPD) mulai Selasa.

Dalam satu kenyataan, Public Mutual berkata ini adalah berikutan penjelasannya bahawa pelanggaran peraturan telah dibuat oleh seorang perunding saham amanah (UTC) yang tidak mematuhi peringatan ketat syarikat itu mengenai peraturan KWSP.

"Dengan penarikan balik penggantungan oleh KWSP itu, Public Mutual terus menjadi satu IPD di bawah Pengeluaran Pelaburan Simpanan ahli KWSP," katanya.

Katanya KWSP terserempak dengan UTC berkenaan yang mengedarkan risalah yang tidak dibenarkan di Shah Alam.

Public Mutual berkata ia sentiasa mengingatkan kesemua UTC bahawa mereka tidak dibenarkan menggunakan mana-mana bahan jualan dan pemasaran, yang termasuk bahan yang membuat sebarang rujukan terhadap KWSP dan logo KWSP, selain daripada yang diluluskan oleh syarikat itu.

Public Mutual akur bahawa "ia tidak bertolak ansur dengan sebarang pelanggaran peraturan yang dilakukan oleh mana-mana UTC terhadap peraturan KWSP."

Memandangkan keseriusan perkara itu, syarikat itu berkata ia telah mengambil tindakan yang wajar terhadap UTC yang melanggar peraturan KWSP itu.

KWSP telah memaparkan di laman webnya semalam bahawa perkhidmatan Public Mutual sebagai IPD di bawah pengeluaran pelaburan Simpanan Ahli KWSP telah digantung berkuat kuasa 29 Oktober. BERNAMA

Artikel Lain