suria

Undang-Undang Alam Sekitar Lebih Mantap Berkuat Kuasa Januari 2013

KUALA LUMPUR: Mekanisme penguatkuasaan dan pendakwaan dalam pengurusan alam sekitar serta penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) akan dimantapkan lagi apabila Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2012 dikuatkuasakan mulai, 2 Januari depan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata pindaan akta yang telah diwartakan pada 16 Ogos lepas itu, adalah bagi mengadakan undang-undang yang lebih relevan untuk menangani isu alam sekitar yang semakin kompleks.

Beliau berkata pindaan akta tersebut turut memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling untuk menghentikan sebarang projek yang melanggar peraturan EIA yang sebelum ini, tertakluk di bawah bidang kuasa menteri.

"Elemen utama dalam akta yang dipinda ini adalah semua jururunding yang mahu menjalankan kajian EIA perlu didaftarkan dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), maka dengan keperluan ini, kita berharap masa yang diambil untuk memproses kajian akan lebih cepat dan ia akan menghasilkan laporan berkualiti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Minggu Alam Sekitar Malaysia, peringkat Kebangsaan 2012 di Taman Tasik Titiwangsa di sini, Ahad.

Pindaan akta itu juga, katanya memperkukuhkan lagi penguatkuasaan terhadap masalah pencemaran di negara ini dengan penalti terhadap pelanggaran Seksyen 2 akta tersebut akan dinaikkan daripada RM100,000 kepada denda maksimum RM500,000. "Pindaan akta ini membolehkan penangkapan dilakukan pegawai penguatkuasa JAS sekiranya mendapati terdapat individu melakukan kesalahan dan kemudian membawanya ke balai polis terdekat," katanya.

Antara kesalahan mengikut seksyen tersebut ialah pelupusan sisa toksik, pencemaran air dan sungai, pembakaran terbuka, pengeluaran asap berlebihan, tumpahan minyak di laut dan pembukaan tanah secara haram.

Uggah berkata pindaan akta itu memperuntukkan ganjaran kepada pemberi maklumat memandangkan kerja penyiasatan terhadap jenayah alam sekitar sering menghadapi masalah kekurangan bukti. "Ini akan menggalakkan lebih ramai orang terlibat dan membantu pihak berkuasa menangani jenayah alam sekitar...bagi tujuan ini juga, satu seksyen baru diwujudkan untuk memberi jaminan kepada pemberi maklumat bahawa identiti mereka tidak akan didedahkan," tambahnya.

Terdahulu beliau melepaskan 3,000 peserta larian Enviro-run 2012 mengelilingi kawasan Taman Tasik Titiwangsa yang diadakan sempena Minggu Alam Sekitar itu. -BERNAMA

Artikel Lain