suria

Sistem AES Diperkenalkan Di Kelantan Tahun Depan - JPJ

KOTA BAHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan memperkenalkan Sistem Penguatkuasa Automatik (AES), bagi mengesan individu yang melakukan kesalahan trafik, pada tahun depan.

Pengarah JPJ Negeri Abdul Ghani Che Kassim berkata JPJ telah mengenal pasti 50 tempat kawasan strategik di negeri ini untuk dipasang kamera litar tertutup di bawah sistem AES.

Kerja pemasangan alat kamera litar tertutup itu telah diserahkan kepada sebuah syarikat konsesi, katanya kepada pemberita pada majlis Hari Penguatkuasaan JPJ Kelantan di sini, Rabu.

Bagi meningkatkan pengesanan pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan trafik yang kini meningkat di negeri ini, Abdul Ghani berkata JPJ menempatkan pegawai dan kakitangan berpakaian preman di kawasan strategik dan notis saman akan dihantar kepada pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan trafik.

Katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 7,802 pemilik kenderaan telah diambil tindakan manakala pada tahun ini sebanyak 18,728 pemilik kenderaan diambil tindakan setakat ini.

Katanya pada tahun lepas sebanyak 14,007 kes dicatatkan bagi kesalahan tiada lesen memandu manakala 1,183 kes bagi kesalahan tamat tempoh cukai jalan.

Abdul Ghani berkata JPJ juga sentiasa menjalankan rondaan di kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan terutama yang melibatkan perjalanan jauh dari Pantai Barat ke Pantai Timur dan Utara.

Antara kawasan itu ialah di Km128, Jalan Kuala Krai-Gua Musang di Kampung Lakloh; Km 12, Jalan Gua Musang-Kuala Lumpur, Km30, Jalan Machang-Kuala Krai dan Km6, Jalan di Kampung Padang Kala, Jalan Kota Baharu-Terengganu.

Mengenai kutipan kompaun, Abdul Ghani berkata sebanyak RM1.9 juta berjaya dipungut hasil pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang tahun lalu berbanding RM1.6 juta sehingga September tahun ini.

"Perangkaan ini menunjukkan purata jabatan ini berjaya memungut bayaran antara RM159,000 hingga RM190,000 sebulan hasil bayaran kompaun," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain