suria

Penghulu Dan Penggawa Disaran Amal Budaya Kerja Kelas Pertama

PUTRAJAYA: Para penghulu dan penggawa disaran supaya mengamalkan budaya kerja kelas pertama dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia dapat dilaksanakan melalui cara berfikir dan proses pemikiran, cara merasa dan menghayati serta cara bertindak dan berperilaku.

"Dari sudut psikologi, cara berfikir dan proses pemikiran kelas pertama merujuk kepada bagaimana kehidupan seseorang itu dapat memberikan manfaat dan kehidupan dan kesejahteraan kepada kehidupan orang lain," katanya dalam ucapan perasmian majlis perjumpaan bersama lebih 300 penghulu dan penggawa dari Semenanjung di sini pada Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya Datuk Rohani Abd Karim.

Menurutnya, para penghulu dan penggawa juga perlu mengikis sikap tidak mesra, lembap dan penuh birokrasi dalam usaha mempertingkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat.

Dalam pada itu beliau melahirkan penghargaan kepada semua penghulu dan penggawa kerana membantu kementerian itu untuk memantau harga barangan dan perkhidmatan, penyelewengan urus niaga serta perkara berkaitan kepenggunaan di kawasan masing-masing.

Pada majlis itu mereka yang juga anggota Skuad Pengguna turut menerima Kad Diskaun untuk mendapat potongan harga terhadap barangan yang dibeli atau perkhidmatan yang digunakan sebagai menghargai jasa mereka dalam membantu kementerian. BERNAMA

Artikel Lain