suria

10 Rumah Kedai Hangus Dalam Kebakaran

SIK: Sebanyak 10 rumah kedai di jalan utama Pekan Jeniang dekat sini hangus dalam satu kebakaran pada kira-kira 8 malam Selasa.

Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sik Ishak Mat Akib berkata tiada kecederaan dilaporkan manakala kebanyakan premis yang terlibat menjual barangan runcit.

"Kami menerima panggilan kecemasan pukul 8.30 malam dan tiba di lokasi tujuh minit kemudian. Api dapat dikawal pada 9.30 malam. Sebanyak lapan jentera termasuk tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani digerak ke lokasi dengan kekuatan lebih 20 anggota.

"Kita turut menerima bantuan daripada beberapa Pasukan Bomba Sukarela yang berhampiran," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat dan operasi diteruskan bagi memastikan ia tidak merebak ke bangunan berhampiran. Ishak juga berkata orang awam memberikan kerjasama dan bantuan dalam menangani kebakaran itu.

"Kami turut mendapat sokongan daripada polis dan Tenaga Nasional Berhad yang segera memotong bekalan elektrik untuk mengawal keadaan," katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Arimi Ahmad, 34, tinggal berhampiran lokasi kejadian dan berkata beliau melihat asap tebal dan api dari bahagian belakang sebuah daripada kedai runcit yang terbakar.

Dalam perkembangan berkaitan, Anggota Dewan Undangan Negeri Gurun Dr Leong Yong Kong, yang melawat lokasi kejadian, berkata beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak berkenaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri serta pemimpin Barisan Nasional negeri.

"Kita akan berbincang dan mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh dihulurkan kepada pemilik kedai yang sudah pasti menanggung kerugian besar," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain