suria

481,424 Calon Duduki PMR Seluruh Negara

KUALA LUMPUR: Seramai 23,733 pelajar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah antara 481,424 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di seluruh negara bermula hari ini hingga 16 Oktober.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus berkata sebanyak 209 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negeri itu dengan 1,797 orang petugas mengendalikan perjalanan peperiksaan.

"Daripada jumlah itu, sebuah adalah pusat peperiksaan persedirian," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Semalam, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyatakan seramai 448,436 calon dari sekolah bantuan penuh kerajaan dan 5,846 calon sekolah di bawah agensi kerajaan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengambil peperiksaan itu.

Selain itu, seramai 10,051 calon adalah dari sekolah agama tadbiran negeri, 13,728 calon sekolah swasta, 1,151 calon persendirian perseorangan dan 2,212 calon dari Sekolah Agama Rakyat.

Sebanyak 3,560 pusat peperiksaan dibuka di seluruh negara dengan 33,898 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

Di ALOR SETAR, seramai 39,405 calon mengambil peperiksaan PMR di 296 pusat peperiksaan di seluruh Kedah, seorang daripadanya menduduki peperiksaan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Pengarah Pelajaran Kedah Mansor Lat berkata daripada jumlah itu, seramai 35,426 calon adalah dari sekolah kerajaan manakala selebihnya calon dari sekolah swasta, Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Agama Rakyat, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Integriti dan Pusat Pemulihan Akhlak.

Seramai 44 orang penyelia kawasan, 296 ketua pengawas dan 2,140 pengawas peperiksaan dilantik bagi memantau peperiksaan berlangsung.

Di KOTA BAHARU, seramai 35,525 calon menduduki PMR di Kelantan tahun ini dengan 110 calon terdiri daripada calon kurang upaya. Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Husin Awang berkata daripada 35,525 calon itu, seramai 28,542 calon adalah dari sekolah kerajaan, 5,454 calon dari sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK), 745 calon dari Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), MARA (628) calon dan swasta/persendirian (156) calon.

Di MELAKA, Pengarah Jabatan Pelajaran Melaka Kasim Mohamad berkata seramai 15,015 calon menduduki peperiksaan PMR di negeri itu hari ini dengan 12 daripadanya menduduki peperiksaan di hospital akibat kemalangan jalan raya dan sakit.

Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 209 calon merupakan murid Sekolah Asrama Penuh, 455 calon Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan 489 calon Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Selain itu, 257 ialah pelajar MRSM, 108 calon sekolah swasta dan 13,754 calon Sekolah Menengah Kebangsaan termasuk calon tumpang.

Beliau berkata kesemua calon menduduki peperiksaan di 103 pusat peperiksaan di negeri itu dengan bilangan petugas peperiksaan seramai 1,000 orang.

Di TERENGGANU, seramai 23,025 calon menduduki PMR di 177 pusat peperiksaan di seluruh negeri itu.

Pengarah Pelajaran Terengganu, Zakaria Husein berkata daripada jumlah itu seramai 22,229 merupakan calon sekolah bantuan penuh kerajaan.

Zakaria berkata terdapat 124 orang calon Orang Kurang Upaya iaitu lapan orang yang mengalami masalah terencat akal, buta dan bisu masing-masing seorang, pekak (26 orang), rabun (10 orang) dan spastik (tiga orang) manakala seramai 75 calon pula mengalami kecacatan anggota. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain