suria

APMM Terima Enam Bot Laju Untuk Kukuhkan Operasi Penguatkuasaannya

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pelabuhan Klang pada Isnin menerima enam bot laju bagi mengukuhkan kegiatan penguatkuasaannya di perairan Selangor.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Adon Sahlan berkata dengan aset itu, ia dapat membantu anggota APMM meningkatkan rondaan dan melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

"Empat daripada bot itu dinamakan 'Penggalang' yang mana diserahkan oleh Jabatan Kastam manakala dua lagi ialah bot 'Pengawal' yang diserahkan kepada APMM oleh Polis Marin.

"Kesemua bot ini akan digunakan secara optimum dan ia juga menggantikan bot APMM sedia ada yang kini dalam proses dibaik pulih," katanya kepada pemberita selepas menerima bot-bot itu di sini.

Sebelum ini, katanya, APMM Pelabuhan Klang mempunyai 11 buah bot yang digunakan bagi tujuan rondaan selain melakukan pemantauan dan penguatkuasaan di perairan berkenaan.

"Melalui penambahan aset ini, kita boleh menggerakkan lebih banyak bot untuk melaksanakan penugasan...tidak seperti sebelum ini yang mana agensi hanya menggunakan tujuh buah bot untuk satu-satu masa selain menggunakan tiga buah kapal sedia ada," katanya.

Adon berkata pendekatan rondaan menggunakan bot turut membantu APMM bertindak lebih pantas sekiranya pasukan itu mendapat aduan atau maklumat berhubung kegiatan jenayah. BERNAMA

Artikel Lain